Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Minat Pantun & Lagu Melayu Rahsia Ezra Kong! - "M. Nasir Idola Saya, Relaku Pujuk Pula ..."

Shahrin Zulkifle 14/12/2022 | 12:00 MYT

Sebagai seorang penulis lirik dan komposer yang sering menghasilkan lagu berbahasa Melayu, Ezra Kong mengakui tidak mudah baginya untuk menguasai bahasa tersebut kerana ia bukan menjadi kebiasaan sejak kecil.

Bagaimanapun, jelas Ezra, 34, disebabkan minat, dia telah memaksa dirinya untuk mendengar lagu tempatan selain suka membaca pantun untuk mendapatkan ‘jiwa’ bagi menghasilkan karya bahasa Melayu.

Malah dedahnya lagi, lagu bahasa Melayu pertama yang didengari berjudul Relaku Pujuk nyanyian kumpulan Spider.

“Untuk mendalami muzik Melayu adalah satu perkara yang agak susah. Kerana saya membesar tidak mendengar muzik Melayu, saya akan paksa diri saya dengar lagu Melayu setiap hari.

“Mula- mula agak susah, kemudian saya mula memahami, mula rasa sayang pada bahasa dan melodi Melayu barulah saya boleh buat lagu. Saya paksa buat itu sebab saya minat untuk hasilkan lagu-lagu Melayu.

“Setiap kali saya buat lagu, ia mengambil masa yang agak lama. Saya juga mempelajari bahasa Melayu dengan cara membaca pantun, kerana pantun Melayu unik.

“Lagu Melayu pertama yang buat saya jatuh cinta adalah lagu Relaku Pujuk daripada Spider. Namun itu sewaktu muda. Sekarang banyak lagu-lagu tempatan lain juga yang saya dengar,” katanya kepada Gempak.

Ezra berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2021 yang berlangsung di Hilton Hotel, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Pada majlis tersebut, Ezra telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Tertinggi sekaligus mengenepikan dua pesaing lain termasuk Datuk M Nasir.

Diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Ezra berkata figura berkenaan merupakan idola baginya dalam menghasilkan karya bahasa Melayu.

“M. Nasir adalah idola saya, saya selalu kaji lagu-lagu beliau. Kejayaan hari ini sudah pasti ada kaitan dengan komposer yang terdahulu sebelum saya seperti M. Nasir.

“Saya selalu melihat lagu-lagu komposer lain dan saya kaji mengenai lagu mereka, daripada situ saya belajar macam-macam perkara untuk hasilkan sebuah lagu,” tambahnya.

Untuk rekod, beberapa buah lagu ciptaan Ezra turut berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu antaranya menerusi lagu Haram (AJL 33) nyanyian Hael Husaini ft Dayang Nurfaizah, Gila (AJL 34) menerusi Kaka Azraff, Noki K-Clique, Loca B dan Jampi (AJL 32) sekali lagi menerusi Hael Husaini.

BACA: Ezra Kong Dinobat Komposer Dengan Pendapatan Tertinggi 2022 Anugerah MACP! Semak Senarai Pemenang Lain

A post shared by Ezra Kong (@ezrakong)

#Dayang Nurfaizah #Hael Husaini #Ezra Kong #MACP 2022
;