Berita
Mpox Bukan Covid-19 Baharu - WHO
Penularan mpox atau cacar monyet yang semakin membimbangkan bukanlah satu lagi Covid-19.
Menurut laporan Sinar Harian, Pengumuman itu dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa ketika ia cuba meredakan rasa khuatir orang ramai berikutan virus itu telah diketahui umum malah cara mengawalnya juga sudah dilaksanakan di kebanyakan negara.
Bukan Covid Baharu
Pengarah WHO di Eropah, Hans Kluge berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan terhadap strain Clade 1b yang telah menyebabkan agensi itu mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) pada minggu lalu.
"Wabak ini boleh dikekang dan mpox bukan Covid-19 baharu," ujarnya sambil menambah langkah pencegahan yang diambil berjaya mengawal wabak itu di Eropah, kira-kira dua tahun lalu.
Tak Laksana ‘Lockdown’
Menurutnya, risiko mpox dalam kalangan populasi umum kekal rendah meskipun banyak negara di luar Afrika sudah mula merekodkan kes virus tersebut.
"Adakah kita akan melaksanakan semula lockdown di rantau Eropah kerana bimbang ia adalah satu lagi Covid-19. Jawapannya sudah tentu tidak sama sekali," tegasnya.
Difahamkan, ia disebarkan melalui kontak kulit ke kulit dan terdapat kemungkinan ia boleh menular melalui titisan air liur individu dijangkiti dengan kontak rapat.
"Cara penularannya masih tidak jelas. Lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan," ujarnya lagi.
Sementara itu, jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata, agensi tersebut tidak menyarankan penggunaan pelitup muka seperti dikenakan sewaktu pandemik Covid-19.
"Kami juga tidak menggalakkan program vaksinasi secara besar-besaran. Ia hanya diberikan kepada kumpulan paling berisiko," tambahnya.
Pada Julai 2022, tahap amaran sama dikeluarkan WHO susulan penyebaran strain Clade 2b mpox yang menjangkiti golongan homoseksual dan biseksual.
Ia bagaimanapun ditarik balik pada Mei 2023.
ARTIKEL BERKAITAN: Apakah Mpox Dan Bagaimana Untuk Melindungi Diri?
ARTIKEL BERKAITAN: Mpox Kecemasan Kesihatan Global, Ini 6 Langkah Segera KKM
ARTIKEL BERKAITAN: Mpox Kecemasan Kesihatan Global, Ini 6 Langkah Segera KKM
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Cacar Monyet Membimbangkan, New York Isytihar Darurat
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Homoseksual Lebih Ramai Hidap Cacar Monyet!
Sumber: Sinar Harian