Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Mpox: “Masyarakat Juga Harus Bertindak, Tak Boleh Harapkan Kerajaan Sahaja,” - Pakar Epidemiologi

Asyraf Roslan 28/08/2024 | 11:55 MYT
Meskipun penularan Kes Mpox di Malaysia belum mencapai tahap serius, namun masyarakat Malaysia harus mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama.

Jangan tunggu

Menurut Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr. Malina Osman, rakyat Malaysia boleh mengambil tindakan awal untuk menjaga keselamatan diri dan tidak usah menunggu pelaksanaan daripada kerajaan sahaja bagi menangani masalah kesihatan ini.

“Dalam konteks kesihatan awam ini, kita masing-masing bertanggungjawab kepada masyarakat, kita tak boleh harapkan kepada kerajaan untuk mulakan tindakan, di pihak kita apa yang kita boleh mulakan.

“Berbalik kepada tanggungjawab kerajaan, di peringkat kementerian sudah pun dilakukan cuma dari segi publisiti mungkin tidak menyeluruh seperti negara jiran, namun kita memang sudah melakukan pemeriksaan dan ada laporan sebab itu kita ada beberapa laporan mengenai mereka yang disyaki itu,” ujarnya.

Ambil Tanggungjawab

Malina juga berpesan kepada rakyat Malaysia agar mengambil tanggungjawab kendiri jika rasa terdedah kepada wabak berkenaan.
Setiap individu harus jujur dan ambil langkah keselamatan seperti yang diamalkan semasa penularan pandemik COVID-19 demi melindungi ahli keluarga serta masyarakat awam.

“ Bagi individu yang rasa diri mereka terdedah dengan individu yang mendapat jangkitan, mereka harus jujur dan membuat deklarasi dimana mereka mungkin terdedah dengan penyakit tersebut dan melakukan isolasi kendiri.

“Perkara ini boleh dilakukan awal tanpa menunggu arahan dari sudut undang-undang,kita ada akta penyakit berjangkit itu tetapi kita harap ia tidak terjadi proses kuarantin seperti COVID-19.
“Namun sebelum perkara itu berlaku, ia menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengambil langkah-langkah keselamatan, bukan kita sudah tahu kita berisiko kita pula yang mendedahkan diri kepada orang ramai ” katanya kepada Gempak.

Artikel Berkaitan: Mpox Bukan Covid-19 Baharu - WHO

Artikel Berkaitan: Apakah Mpox Dan Bagaimana Untuk Melindungi Diri?

Artikel Berkaitan: Mpox Kecemasan Kesihatan Global, Ini 6 Langkah Segera KKM

Pada masa sama, Malina juga menyarankan kepada masyarakat untuk terus mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang pernah dilakukan semasa penularan COVID-19 seperti memakai pelitup muka, membasuh tanggan, jaga penjarakan bagi melindungi diri sendiri dan orang sekeliling.
Sedikit info, setakat ini sebanyak 31 kes Mpox telah disyaki di Malaysia, dengan 25 kes disahkan negatif dan enam masih dalam pemantauan.
Kes Mpox kekal sembilan kes sejak laporan pertama pada 26 Julai 2023 hingga November 2023.
#Kesihatan #Kerajaan #Keselamatan #COVID-19 #Mpox
;