Laman Utama

Nahas LRT Kelana Jaya; Jawapan Pengerusi Prasarana Dikritik Netizen?

Amri Hassan
25/05/2021
16:01 MYT
Sponsor Banner
Nahas LRT Kelana Jaya; Jawapan Pengerusi Prasarana Dikritik Netizen?
"Nahas LRT yang berlaku malam semalam menambahkan satu lagi keresahan rakyat negara ketika ini," demikian antara ciapan pengguna Twitter yang bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa nahas LRT Kelana Jaya pada Isnin.
Kejadian yang berlaku sekitar 8.40 malam semalam telah mengakibatkan 213 penumpang tren cedera dan 47 yang lainnya cedera parah, enam daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketika nahas sedang menjadi bualan ramai, reaksi Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika sidang media pada petang Selasa pula mengalih tumpuan netizen.
Menerusi beberapa sedutan rakaman video ketika sesi terbabit, sikap yang dikatakan acuh tak acuh, kurang empati dan kurang sensitif beliau mencetuskan rasa jelik dalam kalangan pengguna media sosial.
Ramai yang beranggapan, Tajuddin gagal dalam mengendalikan kes nahas tersebut.
Malah, netizen mulai berang dengan penjelasan tidak munasabah Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang tidak berada di tempat kejadian selepas nahas berlaku.
"Saya baru habis tugasan dengan syarikat di Subang petang (Isnin), saya pun dapat tahu lambat. Saya pun dah sedia untuk vaksinasi hari ini. Saya patut terima dos kedua hari ini, you know?" katanya.
Tajuddin juga memberitahu dia tidak akan meletakkan jawatan susulan kejadian terbabit dan menunjukkan rasa kurang senang terhadap pihak yang didakwa cuba membuat provokasi berkaitaan ketiadaannya semalam.
"Bila saya dapat tahu, sudah lewat, saya buat keputusan akan datang 'first thing in the morning'. Ini bermakna saya memang serius dalam perkara ini. Jadi pagi lagi saya sudah turun, pergi tengok terowong semua," katanya.
Tajuddin juga berkata pihak lain seperti Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan CEO Prasarana Norila Noah sudah berada di tempat kejadian sebelumnya.
Dalam sidang media sama, Tajuddin memberitahu setiap penumpang yang terlibat dalam nahas akan menerima pampasan RM1,000 selain bantuan kewangan untuk kos perubatan, rawatan susulan dan ganti rugi kehilangan pendapatan akibat kemalangan.
Untuk rekod, Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana sejak 11 Mei 2020 menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletak jawatan pada 7 Mei 2020.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar