Berita
Nahas Ngeri Melaka: Individu Tampil Kongsi Rakaman Sebelum Kemalangan!
Seorang pemilik kenderaan berkongsi rakaman papan pemuka (dashcam) yang memaparkan detik-detik cemas sebelum kemalangan yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Simpang Ampat, Melaka malam tadi.
Rakaman yang dikongsikan di platform TikTok itu menunjukkan tayar lori berada di tengah laluan.
Keadaan itu menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa mengelak secara mengejut dan memperlahankan kenderaan sehingga mencetuskan suasana panik di lokasi kejadian.
Keadaan jalan yang agak gelap turut menyukarkan pemandu untuk melihat tayar tersebut.
Terdahulu, media melaporkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza terbabit dalam nahas sehingga mengorbankan tujuh nyawa.
@wan_5185 Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa kemalangan...7 mangsa yang meninggal.#viral #fypシ #fyppppppppppppppppppppppp #lebuhrayautaraselatan ♬ bunyi asal - Mr Wan
Kemalangan pada pukul 8.40 malam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh itu turut menyebabkan 33 cedera.
Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.
Perkongsian itu meraih pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata mereka bersimpati dengan kejadian tragis tersebut selain ada yang memberikan nasihat bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Kalau nampak tayar tercabut dari lori, mintak Wazer tolong update (kemas kini) kat Waze (aplikasi) dan terus hubungi PLUS minta kutip tayar. Sekurang-kurangnya pengguna jalan raya lain boleh peka,” cadang Sofea.
“Jumpa tayar atas lebuh raya, apa salahnya hubungi Hotline PLUS buat laporan. Mungkin tindakan kita dapat selamatkan nyawa orang lain. Lori yang tayar tercabut patut pertama yang lapor, yang lain menyusul,” kata Five.
Sumber: Kosmo
Must-Watch Video