Nama Lambat Panas Berbanding Rakan Lain Selepas Hero Remaja, Jazmy Juma Percaya Pada Rezeki – “Saya Tak Rasa Terkejar-Kejar"
Banyak Perubahan
Bercakap kepada Gempak, Jazmy Khan Juma Khan, 26, berkata banyak pengalaman yang dia dakapi sejak mengabdi diri pada 2020.
“Saya lihat banyak perubahan dari segi lakonan. Bermula daripada Hero Remaja, saya nampak progres itu berkembang.
“Ada perubahan, ia ibarat kita sedang menaiki tangga. Banyak perkara yang saya belajar dan banyak pengajaran yang saya dapat.
Anggap Diri Pendatang Baharu
Biarpun kini ligat membina nama, pelakon kelahiran Ipoh ini tetap menganggap dirinya sebagai pendatang baharu.
“Walaupun saya bermula pada tahun 2020 dan sehingga kini, saya tetap berasa saya seorang pendatang baharu.
“Saya rasa saya belum cukup lagi ilmu di dada untuk kekal dalam industri. Banyak lagi perkara yang saya mahu belajar,” katanya.
Tak Cemburu Rakan Lain Lebih Meledak
Dalam pada itu, Jazmy juga tidak cemburu apabila melihat rakan seperjuangannya terlebih dahulu meletup berbandingnya.
“Saya tak ada lah rasa terkejar-kejar, nak bolot semua peluang. Saya kena pilih juga.
“Kalau nak jayakan sesuatu projek, saya akan pilih karakter yang betul-betul saya boleh bawa sebab saya tak mahu rosakkan karya dan kualiti kerja saya,” katanya.