Hiburan
Neelofa Guna Khidmat Tutor Belajar Bahasa Indonesia
Pelakon dan pengacara Neelofa menggunakan khidmat tutor untuk belajar Bahasa Indonesia.
Usaha terbabit dilakukan oleh bekas hos MeleTOP itu sebagai persediaannya menembusi pasaran negara jiran.
"Kini saya dalam persediaan untuk mengintai pasaran dunia hiburan serta mengembangkan perniagaan di Indonesia.
"Sebagai persiapan awal, saya kini menggunakan khidmat tutor untuk belajar Bahasa Indonesia dan dia datang ke rumah untuk mengajar saya.
"Agak sukar sebenarnya belajar bahasa mereka, tetapi untuk menembusi pasaran di sana, saya memang kena belajar bahasa pertuturan mereka.
"Untuk naik dengan cepat dan dikenali oleh peminat dan rakyat negara jiran, saya wajib menguasai bahasa Indonesia," katanya.
Tambah Neelofa, kini dia dalam perbincangan untuk menyertai sebuah projek filem di Indonesia.
"Semuanya masih dalam perbincangan dengan penerbit di Indonesia. Insya-Allah, jika tiada aral, saya bakal membintangi filem di sana.
"Jika perkara ini menjadi satu kenyataan, saya akan mendedahkan butiran lanjut kepada orang ramai kelak," katanya lagi.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran wajah baru jenama Naelofar di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya malam tadi.
Memperkenalkan logo baru dan laman web terkini, perubahan ini dilakukan selepas lima tahun jenama ini ditubuhkan.
"Selepas lima tahun, saya dan seluruh warga kerja di belakang tabir Naelofar mahukan perubahan untuk melangkah lebih jauh lagi.
"Logo baru ini turut memaparkan warna jenama terkini iaitu jingga yang mencerminkan kekuatan dan keberanian," kata Neelofa.
Bersempena dengan wajah baru ini juga, Neelofa turut melancarkan koleksi 'The Go Far Collection' yang menampilkan identiti terkini Naelofar yang lebih segar, 'edgy' dan moden.