Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Netizen Serkap Jarang Tuduh Peminat Nadhir Nasar Sebagai Terlalu Obses, Ini Respons Tuan Punya Badan

Gempak 29/03/2024 | 06:55 MYT

Baru-baru ini, ada dalam kalangan netizen yang menuduh peminat Nadhir Nasar sebagai terlalu obses dengan dirinya, sehingga peminat itu dilabel sebagai individu dengan masalah mental.

Hal berkenaan tercetus gara-gara satu hantaran TikTok mengenai rasa terharu peminat tersebut terhadap Nadhir dan perkongsian mengenai usaha-usahanya menyunting video berkenaan dramatis Projek: High Council itu.

Bukan hal besar

Mengakui ia bukanlah hal yang besar, Nadhir berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan video tersebut.

Apatah lagi video berkenaan hanyalah suntingan yang menunjukkan diri individu berkenaan sebagai peminat yang memberi apresiasi kepada dirinya sebagai pelakon.
“Bila tengok balik video itu, sebenarnya tiada apa-apa masalah pun. Video itu memberitahu yang dirinya merupakan seorang peminat. Sebagai seorang artis yang mempunyai peminat sebegitu, Alhamdulillah… saya suka orang sokong saya dengan ikhlas.
“Sebagai tanda untuk pulangkan (rasa terima kasih), saya beri semula dengan mengadakan meet and greet atau berlakon dengan baik dan ikhlas menerusi naskhah yang saya jayakan.
“Untuk hantaran di platform X, saya tak tahu mana individu itu datang. Untuk saya secara peribadi, perkara tersebut tidak ekstrem pun. Saya bukan nak back-up peminat, tetapi saya tahu ada artis di luar sana ada peminat yang seperti ini,” katanya kepada Gempak.
Nadhir berkata demikian ketika mengulas mengenai satu hantaran video peminatnya yang tular di platform X sehingga peminat itu dilabel dengan gelaran yang kurang manis.

Subjektif

Ditanya adakah dia pernah bertemu dengan peminat yang benar-benar obses dengan dirinya, jawab Nadhir: “Saya tak tahu macam mana nak kategorikan obses itu. Adakah orang yang ikut berjalan di belakang awak kita kategorikan sebagai terlalu obses?

“Adakah komen ‘love’ di Instagram dikira sebagai terlalu obses? Obses itu merupakan satu hal yang subjektif bagi setiap orang. Dan bagi saya, apa yang fans buat dekat saya, tiada satu pun yang dianggap sebagai terlalu obses.
“Ia tidak mengganggu saya dalam industri dan hal-hal harian saya. Mereka tahu batas mereka. Peminat adalah cerminan artis. Kalau kita sebarkan perkara yang baik kepada mereka, mereka akan pulangkan hal yang baik juga kepada kita. Siapalah artis tanpa peminat?” tutup Nadhir.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan Acah Rockstar, Kau Bukan Billie Joe..” - Nadhir Nasar Sindir Siapa?

ARTIKEL BERKAITAN: Nafi Sindir Penyanyi Bermasalah, Nadhir Nasar; "Tweet Itu Sangat Rawak, Saya Pun Ada Kawan-Kawan ..."

#peminat #Obses #Edit #Nadhir Nasar #Apresiasi #Mental Illness
;