Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

#OhAbeNik: Selalu Troll Fesyen Artis, Orang Kita Ni Buta Fesyen Atau Nak Menyakat Jer?

Amri Hassan 20/03/2021 | 12:45 MYT
Ada garis halus yang memisahkan tindakan mengkritik dengan menghina. Garisan itu yang biasa kita langgar hingga mengguris hati sesetengah individu di hadapan kita.
Abe Nik percaya, antara kita semua pastinya ada pandangan peribadi, tidak kiralah ia bersifat sederhana atau ekstrim.
Jadi, setiap individu juga berhak untuk memberikan pendapat dan mengkritik terhadap sesuatu perkara. Ia lumrah manusiawi.
Kita boleh perhatikan setiap kali ada acara hiburan yang disiar secara langsung di kaca televisyen pasti akan timbul pelbagai idea nakal netizen untuk mengulas mengenai apa yang artis kesayangan mereka pakai.
BACA: Baju Plastik Sampah Sherry, Glove Ajumma Ziana Zain & Dres Tempayan Ernie Zakri
Sama juga seperti apa yang berlaku pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Ahad lalu. Selain mengkritik (atau mungkin ada sampaikan menghina) persembahan artis yang bertanding, ada juga yang membuat pelbagai troll fesyen artis di pentas.
Ernie Zakri, Aina Abdul, Azlan bahkan Sherry Alhadad sendiri tidak terlepas daripada komen-komen pedas netizen.
Menyamakan dress seperti plastik sampah, almond london, mak sihir, tempayan, kotak penyejuk dan macam-macam lagi idea kreatif netizen.

A post shared by Hye Juju✨ (@xxwakjujuxx)

Harus dibezakan, pakaian untuk persembahan pentas perlulah ada cerita. Itu yang ditampilkan setiap penyanyi pada malam itu.
Tidak adil pula Abe Nik rasa untuk netizen bersepakat menghina busana yang dihasilkan dengan titik peluh dan idea oleh pereka masing-masing.
Aina misalnya, dress hitam dengan potongan pleat berlayer itu sendiri punyai maksud mengikut lirik lagunya, Semalam.
Manakala, dress Ernie menyemat kenangan dan nostalgia arwah neneknya. Selari menceritakan tentang lirik dan lagu Gundah.
Bukanlah tidak boleh untuk penonton atau wargamaya berkongsi pandangan mengenai sesuatu yang dilihat, tapi cuba bayangkan jika individu atau rekaan yang dikritik itu milik sendiri. Refleks dan cuba nilai balik.
Terlalu awal juga untuk Abe Nik menyifatkan pandangan umum itu ditulis luar sedar, kerana kita sebagai pengguna media sosial yang bijak sudah tentu tahu baik buruk. Semua sudah matang.
Malah, pengguna media sosial (yang rata-ratanya dari Malaysia) pun bukan buta fesyen. Semua tahu dan bijak berpakaian. Cantik-cantik juga.
Mungkinlah, seni dan fesyen itu subjektif. Tertakluk pada individu untuk menilai sama ada apa yang dilihat di hadapannya itu cantik atau pelik.
Mungkin juga Abe Nik rasa citarasa fesyen warganet kita belum sampai ke tahap eksperimentasi. Masih berpegang pada stereotaip busana, belum bersedia untuk terima olahan keterlaluan.
Tapi, sampai bila?
Negara lain sudah jauh ke hadapan dalam soal bergaya dan fesyen. Tak kira apa juga senario dan lokasinya.
Anggap saja komen-komen nakal itu sekadar untuk menyakat dan bercanda. Tak meriahlah media sosial kan kalau tiada gurauan.
***
NOTA: #OhAbeNik merupakan pandangan peribadi penulis dalam berkongsi tips atau ulasan tentang gaya hidup, hobi, fesyen dan kemahiran harian.
***
#Ziana Zain #Gaya Hidup #Fesyen #Sherry Alhadad #Ernie Zakri #Wan & Mary #Aina Abdul #AJL35 #Oh Abe Nik #Amaze
;