Orang Lain Punya Isu, Nama Syafie Naswip Pula Yang Kena Petik - “Tidak, Bukan Saya”
Pelakon Syafie Naswip menjelaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah yang ditahan dalam satu serbuan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Malah Syafie juga menegaskan terdapat beberapa produksi lain yang turut menjalani penggambaran du Kuala Kangsar.
“Salam semua, ramai yang DM tanya adakah individu itu adalah saya since saya shooting di Kuala Kangsar baru-baru ini.
“Jawapannya tidak. Ada beberapa produksi drama lain yang turut shooting di sana. Moga dijauhkan daripada fitnah seperti ini lagi,” jelasnya menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.
Difahamkan nama Syafie mula dipetik netizen kerana umur pelakon yang ditahan itu adalah 29 tahun.
Kata Syafie lagi, dia berharap dengan penjelasan tersebut tidah timbul lagi salah faham atau fitnah ke atas dirinya.
“Sebelum apa-apa hanya nak clearkan nama. Ia bukan saya,” tegasnya.
Terdahulu, pelakon lelaki berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak, semalam.
Turut sama ditahan adalah pengarah dan penolong pengarah yang masing-masing berusia 49 dan 47 tahun.
Difahamkan serbuan dilakukan kira-kira jam 7.15 pagi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar serta dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar.