“Orang Lelaki Memang Nakal, Jadi...”- Pernah Diganggu Orang Ketiga, Amyza Aznan Beri Peluang Pada Suami
Pelakon Amyza Aznan akui rumah tangganya sebelum ni pernah bergolak dengan kehadiran orang ketiga.
Namun Amyza berkata semuanya kini masih berada dalam keadaan terkawal dan menganggap ia sebahagian daripada adat berumah tangga.
“Sebenarnya tiada apa-apa kemelut pun di dalam rumahtangga saya. Kalau nak kata rumah tangga saya bergoyang, tidaklah bergoyang sangat, bergoyang manja saja. Tapi alhamdulillah sekarang semuanya baik-baik saja.
“Mestilah saya pernah berhadapan dengan situasi itu dan bila suami datang balik pada kita dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi, berikanlah dia peluang dan buang perasaan was-was itu dan percaya padanya.
“Sebenarnya dalam sebuah perkahwinan itu, kalau ada masalah, perbaikilah tapi kalau tak boleh perbaiki, tepuk dada tanya selera,” katanya kepada Astro Gempak.
Amyza mengulas mengenai isu rumah tangganya ketika ditemui di sidang media supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara, Putrajaya, petang Khamis.
Pada penghujung tahun lalu, Amyza memuat naik hantaran di laman sosial, Instagramnya memberi tanda seolah-olah rumah tangganya goyah.
Amyza bagaimana pun bersyukur dia masih bersama dengan suami meskipun akui setiap lelaki tidak terlepas dengan sikap nakalnya.
“Alhamdulillah saya masih isteri pertamanya, kini dan selamanya. Sekarang gangguan tiada lagi, dan kalau ada pun, ada saya kisah? Pada awalnya saya akui memang saya meroyan dan marah tapi tiadalah sampai saya mencederakan dia.
“Iyalah, orang lelaki memang nakal, walaupun suami saya. Orang lelaki macam mana pun, ada sikap nakalnya, jadi biarkan. Kalau kita terlampau kawal, mereka rimas. Bila mereka rimas, lagi mereka nak buat.
“Tak mengapa, buatlah, lambat laun mereka akan datang balik pada kita. Tapi itu pendapat saya, tak tahu orang lain bagaimana,” katanya.
Tambah Amyza, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku dan sentiasa muhasabah diri untuk kekal positif.
“Kini saya berserah. Saya berfikir setiap apa yang berlaku dan setiap perbuatan dia, semuanya dari kekurangan saya sebagai isteri yang tidak sempurna.
“Jadi saya muhasabah diri, apa yang terjadi adalah salah saya, saya yang tidak menjaganya dengan baik dan dari situ saya akan perbaiki diri. Saya juga percaya wanita yang baik untuk lelaki yang baik, jadi saya cuba jadi baik untuk dirinya,” katanya.
Amyza dan Khairil berkahwin pada 2004 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, Andrian Adam dan Ayden Andika.