Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Pakar Geologi Ini Kongsi Faktor Berlakunya Sinkhole & Dedah Tanda-Tanda Tanah Runtuh - “Permukaan Tunggu Masa Apabila..”

Umirah Halim 24/08/2024 | 18:55 MYT
Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Shahidah Mohd Nazer berpendapat keadaan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas dipercayai menjadi antara faktor utama berlakunya insiden tanah jerlus seperti di Jalan Masjid India baru-baru ini.

Wujud rongga kosong

Menurut Nor Shahidah, keadaan tersebut akan menyebabkan wujudnya rongga kosong kerana permukaan lapisan tanah di bahagian bawah mengalami hakisan atau pengangkatan sedimen secara berterusan.

Akhirnya permukaan hanya menunggu masa untuk runtuh apabila bahagian lapisan di atas tidak dapat lagi menampung beban.

“Untuk kejadian itu kita boleh lihat berdasarkan video yang terdapat di media sosial jelas kelihatan ada aliran air yang agak deras pada bahagaian bawah.

“Aliran air ini salah satunya berpunca daripada kewujudan saluran daripada sungai utama dan diburukkan lagi dengan keadaan hujan lebat yang berlaku beberapa hari sebelum.

“Sebelum kejadian itu juga, Kuala Lumpur dilanda banjir, sungai berlimpahan menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

“Ini menandakan bahawa tanah berada dalam ketumpuan yang sangat tinggi dan aliran air memburukkan lagi hakisan di bawah.

BERITA TRENDING: Tanah Jerlus Masjid India: “Tolong Selamatkan Ibu Saya!” - Rintihan Anak Sulung Mangsa
BERITA TRENDING: Tanah Jerlus Masjid India: “Mangsa Dipercayai Dihanyut Arus Deras” - Polis
BERITA TRENDING: Tanah Jerlus Masjid India: “Isteri Jerit Minta Tolong Sebelum Dia Senyap” - Suami
BERITA TRENDING: Tanah Jerlus Di Hadapan Masjid India, Seorang Mangsa Dikesan

“Jadi beberapa kawasan akan mengalami pengangkatan sedimen secara berterusan menyebabkan kewujudan rongga kosong yang agak besar dan akhirnya akan runtuh apabila permukaan atas itu tidak dapat menampung beban yang ada.

“Juga sinkhole boleh berlaku akibat geologi kawasan yang didasari batu kapur kerana sifat batu kapur boleh melarut dalam air jadi ia boleh membentuk rongga dipanggil sebagai kaviti yang boleh menyebabkan runtuhan dinding dipanggil sebagai lubang benam.

“Namun, pelarutan batuan itu memakan masa ratusan atau jutaan tahun,” ujarnya ketika dihubungi Gempak.

Tanda-tanda kawasan terdedah risiko tanah runtuh

Sementara itu, Nor Shahidah juga sempat berkongsi tanda-tanda sekiranya kawasan tersebut terdedah kepada risiko tanah runtuh.
“Kita perlu perhatikan di bahagian permukaan, iaitu rekahan secara membulat.
“Ia akan muncul apabila rongga telah wujud di permukaan dasar dan beban dipermukaan hanya ditampung sementara oleh pavement, jadi apabila bawah telah kosong ia akan mendap sedikit dan membentuk bulat.
“Ataupun sekiranya kawasan tersebut ada sungai dan sungai itu tiba-tiba hilang dan muncul di satu tempat yang lain ini antara contoh common kawasan yang didasari oleh batu kapur, tapi di Masjid India kita tak dapat lihat sebab aliran air sungai itu berada di bahagian bawah,” jelasnya.

Jalankan scanning di kawasan berpotensi

Bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku, Nor Syahida berpendapat insiden tersebut dapat dielakkan sekiranya pihak bertanggungjawab menjalankan ‘scanning’ di kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya tanah jerlus.
“Untuk mengelakkan kejadian sinkhole agak sukar sebab ia sesuatu yang kita tak boleh nampak dengan mata kasar kecuali kalau kita boleh tengok rekahan bulat, penyusupan permukaan yang berlaku.
“Namun, tempoh kejadian untuk berlakunya canggaan yang besar itu sukar untuk ketahui, maka langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang adalah pihak bertanggungjawab perlu melakukan scanning terhadap kawasan yang berpotensi berlakunya sinkhole dan membuat penutupan lubang-lubang ini menggunakan teknik routing, itu sahaja sudah memadai untuk menutup rongga, tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, insiden pada 8.20 pagi semalam menyaksikan seorang warga wanita India, Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter ketika berjalan bersama keluarganya di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

#Tanah #Pakar #Pendapat #Masjid India #jerlus #geologi
;