Laman Utama
Patuh Permintaan Suami, Ellie Suriaty Akhirnya Cucuk Vaksin - "Dah Sampai Masa Kena Ikut Cakap ..."
Mentaati permintaan suami, pelakon Ellie Suriaty memaklumkan akhirnya sudah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 sejak November tahun lalu.
Kata isteri kepada pelakon Azri Iskandar itu, dia akur untuk melakukannya demi suami tercinta dan sudah mula bekerja baru-baru ini.
"Saya ambil vaksin sebab Azri Iskandar. Dia dah bagi saya masa hampir dua tahun untuk meluahkan apa yang patut diluahkan (tentang vaksin COVID-19).
"Azri cakap pada saya dia dah beri saya dua tahun dan sudah sampai waktunya untuk saya ‘to call it quits’ (berhenti).
"Azri suami saya dan dia dah bagi saya tempoh (buat pertimbangan vaksin). Itu bermakna dia menghormati saya punya pendirian.
"Dah sampai masa saya kena ikut cakap suami. Sejujurnya, memang berperanglah sekejap dalam diri cakap ‘taknak vaksin’ tapi dia suami saya dan saya sangat menghormatinya.
"Apapun yang berlaku kepada diri saya dan anak-anak, dia yang kena tanggunglah," katanya usai sidang media pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit Restaurant, Mont Kiara, Damansara pada Selasa.
Ellie menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Sinovac pada Oktober dan disusuli dos kedua pada November lalu sebelum menerima tawaran bekerja di Sarawak.
Dalam pada itu, Ellie, 52, menafikan dirinya merupakan golongan antivaksin seperti yang disifatkan segelintir pihak.
"Kalau saya anti vaksin, dari dulu saya takkan cucuk apa-apa vaksin pun. Cuma, apa yang saya persoalkan tentang vaksin COVID-19 ini adalah tentang keberkesanannya kerana dibuat secara terburu-buru," tambahnya.
Sebelum ini, Ellie merupakan antara selebriti tempatan yang lantang menolak suntikan vaksin termasuk untuk kedua-dua anak mereka yang berusia 17 dan 12 tahun atas faktor keselamatan dan kesihatan.
Pun begitu, dalam kelantangan menolak suntikan vaksin COVID-19, suami Ellie iaitu Azri akhirnya kecundang apabila dalam diam-diam selesai menerima dua dos suntikan vaksin demi tuntutan pekerjaan sekitar September.
Pasangan selebriti berkenaan turut mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis pada 30 Ogos lalu untuk menolak suntikan vaksin bagi pelajar sekolah yang diwajibkan pihak kerajaan.