Laman Utama
Pelakon Influencer, Nabila Huda Pesan Asah Bakat! - "Tak Kasihan Ker Tengok Orang Tak Pandai Berlakon Jadi ..."
Pelakon Nabila Huda, 36, mencadangkan agar penerbit menyediakan kelas lakonan kepada golongan influencer yang baru menapak sebelum digandingkan dengan barisan senior.
Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Abil, tujuan kelas itu diadakan bagi mengasah bakat di samping memastikan para influencer berada dalam keadaan yang bersedia untuk ke set penggambaran.
"Saya sarankan penerbit, kalau nak ambil influencer berlakon dan digandingkan dengan pelakon senior, bagi la mereka kelas lakonan, macam kami berlakon drama kena rehearsel dua bulan.
"Buat kelas online ke, sekurang-kurangnya asah bakat lakonan dahulu. Stesen TV suka ambil influencer sebab boleh promosi drama, kita tak kisah fasal berapa banyak followers dia.
"Yang influencer ni pun kena la keluar duit untuk kelas lakonan, jadi bila masuk set mereka dah dalam keadaan yang bersedia dan tidak menyusahkan pelakon senior," katanya kepada Gempak.
Abil ditemui ketika sidang media drama Diva Popular yang diadakan secara maya pada Rabu.
Dalam pada itu, pelakon filem Munafik menyatakan barisan pelakon baharu perlu membiasakan diri di depan kamera terlebih dahulu.
Katanya, jangan hanya mementingkan populariti sehinggakan mengabaikan kualiti lakonan.
"Bagi saya, pelakon baharu ni kena bagi mereka biasakan diri berada di depan kamera supaya nampak tak kekok dan bagi mereka beberapa pengalaman terlebih dahulu.
"Ia melibatkan maruah juga tau.. tak kasihan ke tengok orang yang tak pandai berlakon ni jadi watak utama.
"Kalaulah saya, sebagai influencer yang baru dan tak pandai berlakon, saya tak berani nak ambil watak utama. Saya takkan ambil hanya untuk terkenal," katanya lagi.
Sebelum ini, kemunculan influencer sebagai pelakon menjadi topik hangat dalam kalangan netizen kerana didakwa kelihatan kayu di kaca televisyen.