Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Pelakon Mangsa Pemerdagangan Manusia Dipaksa Botakkan Rambut, Ditemui Lepas Hilang Di Thailand

Maliah Surip 08/01/2025 | 06:55 MYT
Seorang pelakon dari China, Wang Xing ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang sebaik tiba di Thailand minggu lalu.
Xing ditemui pihak berkuasa tempatan selepas kali terakhir dilihat berada dalam sempadan Thai-Myanmar. Dia kemudian tidak dapat dikesan selepas memasuki kawasan Tak di Myawaddy di Myanmar.
Pihak berkuasa Thailand tidak menolak Xing telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia memandangkan Tak dikenali sebagai kawasan jenayah terancang termasuk melakukan urusan jual beli manusia.
“Daripada siasatan yang dijalankan, kami percaya dia telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” ujar Inspektor Pol Gen Thatchai Pitaneelaboot dari Royal Thai Police seperti dilaporkan Bangkok Post.
Pelakon berusia 31 tahun itu datang ke Thailand selepas ditawarkan untuk menjalani sesi uji bakat bagi sebuah filem. Tawaran tersebut diterima menerusi aplikasi WeChat daripada individu yang mengaku wakil mencari dirinya untuk terbabit dalam naskhah tersebut.
Menceritakan detik hitam itu, Xing memberitahu sebaik tiba di lapangan terbang, dia dipaksa mencukur rambut sebelum dibawa merentas sempadan bersama lebih 50 mangsa penipuan yang lain.
“Saya ditawarkan untuk berlakon namun sebaik sampai di Thailand semua berubah menjadi detik hitam,” katanya.
Selepas dijual, dia percaya bakal menjadi hamba di sebuah pusat yang menjalankan aktiviti haram atas talian.
Bagaimanapun sepanjang menjadi ‘tawanan’ Xing mengaku tidak dicederakan. Dia malah mengaku tidak takut untuk kembali ke Thailand kerana menyifatkan negara tersebut selamat.
“Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan. Thailand negara yang selamat, saya pasti akan kembali ke sini,” katanya lagi.
#pelakon #Botak rambut #Mangsa pemerdangan #Pemerdangan manusia
;