Laman Utama
Pengasas Produk Buat Lagu, M. Nasir; "Merosakkan Industri Atau Tidak, Saya Rasa ..."
Sifu muzik tanah air, Datuk M Nasir memberi pandangan tentang perkembangan era digital yang mencetus perubahan terhadap industri seni tempatan.
Beliau akui, platform digital yang telah membuka ruang kepada golongan yang asalnya bukan penyanyi untuk menghasilkan lagu telah menjadi satu trend di Malaysia.
"Ini budaya sekarang, mungkin memberi tekanan kepada orang-orang yang serius buat lagu, saya rasa ia adalah satu cabaran. Apabila teknologi berubah, cara orang menggunakan platform pun berubah.
"Sesiapa yang ada dalam industri kenalah bersedia sama ada dia yang mengubah perkara ini atau biasakan diri," katanya.
Penyanyi lagu-lagu Nusantara itu berkata demikian ketika ditemui di Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2021 yang berlangsung di The Bee, Publika Kuala Lumpur pada Selasa.
Ditanya sama ada fenomena sebegitu boleh merosakkan industri seni, M. Nasir masih belum boleh menyimpulkan.
Kata beliau, perkara itu harus dilihat dalam beberapa tahun yang akan datang.
"Buat masa sekarang, para komposer dan penyanyi mengadu tentang ini, jawapan sama ada kejadian sebegini boleh merosakkan industri ataupun tidak, saya rasa kita kena tunggu dahulu mungkin dalam dua ke tiga tahun," katanya lagi.
Bercakap tentang pengasas produk yang tampil dengan lagu sendiri, M. Nasir tidak menyangkal bahawa perkara itu turut memberi kesan kerana saiz pasaran hiburan di Malaysia tidaklah besar.
"Industri kita tak besar, jadi apa yang berlaku pun mesti semua orang terkesan, kalau pasaran kita besar mungkin kurang memberi kesan," jelas Pengerusi MACP itu.
Anugerah MACP adalah satu acara yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil atau karya untuk perkembangan industri tempatan.
Acara itu tidak diadakan tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.
Meskipun kembali dianjurkan tahun ini, ia diadakan dengan skala kehadiran tetamu yang lebih kecil dalam suasana norma baru dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Hasil royalti kutipan MACP didapati daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang mempunyai lesen di bawah badan berkenaan.
#Jutawan Kosmetik
#M. Nasir
#MACP
#Perubahan
#Industri
#Pengasas Produk
#Buat Lagu
#Lagu Pengasas Produk