Komposer kontroversi Namewee melakar kejayaan apabila berjaya merangkul anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat pertama kalinya dalam Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2021 yang berlangsung di The Bee, Publika Kuala Lumpur pada Selasa.

Sementara rapper dan komposer berbakat, Zynakal pula diangkat sebagai penerima trofi kategori Komposer Muda Berpotensi.

Berikut adalah senarai lengkap pemenang bagi setiap kategori yang lain.

1) Lagu Pendapatan Luar Negara Terbanyak - Namewee (Piao Xiang Bi Fang)

2) Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak - Syarikat Luncai Emas

3) Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi - Universal Music Publishing Sdn Bhd.

4) Persembahan Lagu Melayu Terbanyak - Sumpah (ciptaan Naim Daniel & Omar K)

5) Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak - I Am Me (nyanyian Datuk Seri Vida, ciptaan Edry Abdul Halim)

6) Lagu Cina Dendangan Terbanyak - Drama Queen (ciptaan Quasimofo, lirik oleh Ka Xi)

7) Lagu Tamil Dendangan Terbanyak - Pogiren (ciptaan Prashan, lirik oleh Mugen Rao)

8) Lagu Luar Negara Dendangan Terbanyak - Wei Da De Miao Xiao (ciptaan Lin Jun Jiw, lirik oleh Xiao Han)

Anugerah MACP adalah satu acara yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil atau karya untuk perkembangan industri tempatan.

Acara itu tidak diadakan tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.

Meskipun kembali diadakan tahun ini, ia diadakan dengan skala kehadiran tetamu yang lebih kecil dalam suasana norma baru dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hasil royalti kutipan MACP didapati daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang mempunyai lesen di bawah badan berkenaan.