Sukan
Pernah Rangkul Gelaran Juara Dunia, Jaguh Pecut Asia… Ini Pencapaian Luar Biasa Azizulhasni Awang
Nama Datuk Azizulhasni Awang mula meniti di bibir peminat sukan tanah air selepas memenangi pingat perak acara pecut di Kejohanan Dunia 2009 di Poland diikuti kejayaan merangkul perak dan emas acara keirin masing-masing pada Kejohanan Dunia 2010 di Denmark dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
Diberi julukan ‘The Pocket Rocketman', Azizulhasni adalah pelumba berbasikal trek negara paling berjaya dengan rekod satu pingat perak dan satu gangsa sepanjang lima penampilan di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008.
Lebih membanggakan, beliau merupakan atlet berbasikal pertama negara menaiki podium Olimpik.
Pengorbanan dan semangat juang Azizulhasni dapat dibuktikan apabila insiden malang menimpanya ketika beliau menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia pada 2011 yang menyaksikan betis kirinya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter.
Azizulhasni bangkit dengan mengayuh basikalnya ke garisan penamat biarpun serpihan kayu masih tertusuk di betisnya untuk memenangi pingat gangsa acara keirin.
Pingat perak diraih beliau dalam acara keirin pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah pencapaian tertinggi dalam kariernya selepas memenangi gangsa dalam acara sama di Rio 2016 sebelum bergelar juara dunia keirin di Hong Kong lapan bulan kemudian pada April 2017.
Dalam kejohanan tersebut, anak jati Terengganu ini berjaya menyarung jersi pelangi yang menjadi impiannya sejak awal kerjayanya.
Azizulhasni juga pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2017.
Di pentas Sukan Asia, beliau pernah merangkul pingat emas acara pecut dan perak (pecut berpasukan) pada edisi Jakarta-Palembang 2018 sementara pada penyertaan di Sukan Komanwel, beliau berjaya memenangi gangsa pecut berpasukan pada edisi Delhi 2010 dan keirin (Glasgow 2014).
Azizulhasni turut melengkapkan koleksi sedozen pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) apabila mengungguli acara keirin pada Jun 2023.
Penyertaannya di kejohanan ACC tersebut adalah rekod cemerlang Azizulhasni apabila ia adalah emas ke-12 buat dirinya sejak pertama kali meraih pingat pada 2007.
Atlet berusia 36 tahun itu turut merangkul pingat emas acara keirin pada siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zealand pada 2019.
ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Kandas Acara Keirin, Ini Penjelasan Azizulhasni Awang...
ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Azizulhasni Dibatalkan Penyertaan Dalam Pusingan Pertama
ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Azizulhasni Tewas Kepada Jeffry Hoogland, Perlu Ke Repechage Untuk Ke Suku Akhir
ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Doa Isteri Mengiringi Impian AzizulHasni Awang - “Bawalah Pulang Emas Wahai Sang Juaraku”
ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Azizulhasni Jadi Harapan Jelmakan Kilauan Emas – “Saya Sangat Teruja Untuk Olimpik Kelima Dan Terakhir Saya”
Sumber: Sinar Harian & Berita Harian