Hiburan
Pihak Pengurusan Fazura Bakal Ambil Tindakan Saman Terhadap Individu Didakwa Sebar Fitnah - “4 Hingga 5 Individu Dah Dikenal Pasti”
Aktres Nur Fazura menerusi pihak pengurusannya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung kes perceraiannya bersama suami, Fattah Amin.
Bakal Hantar LOD Kepada Penyebar Fitnah
Menurut peguam syarie yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, pihaknya juga akan menghantar notis mahkamah (Letter Of Demand) kepada individu berkenaan.
“Pihak pengurusan Fazura terkilan dengan kenyataan yang dirasakan sudah menfitnah Fazura. Pekara yang dikatakan itu tidak benar.
“Pihak kami mahu beri satu peringatan bahawa kami sudah kenal pasti pihak-pihak tertentu dan tindakan sepatutnya akan diambil melalui pihak polis dan MCMC.
“Saman melalui prosiding mahkamah juga akan dibuat terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan fitnah sepanjang kes perceraianya mula diperkatakan sehingga sekarang,” ujar Fakhrul kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Rabu.
Lima Individu Dikenal Pasti
Jelas Fakhrul lagi, seramai lima individu sudah dikenal pasti untuk diambil tindakan lanjut.
“Setakat ini sudah kenal pasti sebanyak 4 hingga 5 individu tetapi tindakan akan dibuat ke atas individu yang mula-mula sekali keluarkan kenyataan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu untuk menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan.
Fazura diwakili peguam Fakhrul Azman. Sementara itu, Fattah diwakili peguam Zulkifli Che Yong.
Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.
Difahamkan permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.