Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

PKPD, Uqasha Senrose Akui Murung... Hidup Macam Tak Betul - "Saya Ambil Wuduk & Baca ..."

Faizal Saharuni 06/07/2021 | 12:55 MYT
Memasuki hari ke-4 berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti tertentu, pelakon jelita, Uqasha Senrose, 29, mengaku sedikit sebanyak didatangi kemurungan yang turut didepani sebilangan individu lain ketika pandemik Covid-19 ini.

“Ya, saya akui ada rasa depress, tertutup, hidup macam tak betul sebab tak boleh pergi ke mana-mana ditambah dah terbiasa kerja setiap hari. Memang sesekali ada rasa mengeluh, tapi semua ini berkait rapat dengan soal pengurusan waktu masing-masing.

“Macam saya terus ambil wuduk, sembahyang serta diikuti baca Al-Quran. Bukan nak tunjuk baik, tapi ini yang saya buat selama ni. Waktu sama, saya borak dengan Mama dan adik-beradik, mengemas rumah dan sibukkan diri dengan bisnes,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu sempat menasihati orang ramai agar tidak terlalu memikirkan isu ini kerana ia boleh mengakibatkan tekanan diri. Menganggap apa yang berlaku punya hikmah tersendiri demi menjamin masa depan lebih baik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Uqasha turut meluah pandangan diri mengenai isu masalah mental yang kian berleluasa sekarang. Tidak dinafikan, kes dilaporkan hampir setiap hari berlaku oleh media sehingga menyebabkan kebimbangan besar terhadap masyarakat.

“Saya perasan dan akui ada waktu terikut-ikut dengan rasa murung yang boleh terjerumus ke arah masalah mental ditambah otak mula cramp dan jiwa kacau kerana melibatkan soal hati. Begitupun, semua boleh ditangani serta jangan diikut sangat perasaan itu.

“Saya bukan pakar atau nak memandai beri nasihat. Tak kira bangsa atau agama, dekatkan diri dengan Tuhan sambil buat benda-benda positif seperti bangun pagi, mandi, segar serta cantikkan diri, kemas rumah, masak dan baca buku bagi memenuhkan hari terluang.

“Semua bermula daripada diri sendiri. Sentiasa kena kuatkan hati dalam menghadapi dugaan ini.” akhirinya penuh semangat.

#pelakon #Uqasha Senrose #Depresi #Wuduk #PKPD
;