Hiburan
Radin Terpaksa Tangguh Kahwin Sebab Keadaan Kesihatan Kekasih - “Saya Bawa Dia Pergi Berubat…”
Perancangan penyampai radio Era FM, Radin untuk berkahwin dengan pasangannya yang dikenali sebagai Azlina pada 11 November tahun lalu tidak dapat dilaksanakan.
Persiapan Hampir Siap Sepenuhnya
Sudah membuat persiapan hampir sepenuhnya, Radin memberitahu keputusan untuk menangguhkan perkahwinan itu disebabkan keadaan kesihatan kekasihnya tidak mengizinkan.
“Sejujurnya, benda ini (kahwin) terjadi pada tahun lalu. Segala perancangan sudah dibuat, hanya tinggal hantar jemputan saja. Cuma, kita tak dapat jalankan sebab pasangan saya itu ada slip disc yang kronik.
“Saya bawa dia pergi berubat, pergi hospital sampai ambil masa sehingga 17 hari. Dia pun masih dalam proses pemulihan. Hari kejadian, sebulan sebelum, saya berbincang dengan dia.
“Saya rasa macam kita kena lakukan sesuatu. Kalau kena open surgery, dia buat pembedahan kecil pun ambil masa lebih sebulan, apatah lagi kalau open surgery.
“Kalau buat open surgery, sehingga tarikh berlangsung, macam mana kita langsungkan perkahwinan,” kata Radin kepada Gempak ketika ditemui di rumah terbuka Era FYP Raya baru-baru ini.
Tengah Sibuk Bekerja
Dalam pada itu, pemilik nama Radin Amir Affendy Ahmad Aruani ini berkata dia bukan mahu mengelak daripada berkahwin namun kesibukan kerja juga menjadi salah satu punca penangguhan itu.
“Sudah tentu, perempuan akan marah dan rasa terasa hati… bukan kita nak mengelak fasal itu (kahwin). Sebab bagi saya, perkahwinan ini satu perkara yang memerlukan banyak kerja… kawan, saudara nak bergambar.
“Kebetulan pula, saya pun dah bekerja di segmen 3 Pagi Era, kerja lagi bertambah. Walaupun hakikat 6 hingga 10 pagi selesai kerja, tapi selepas itu ada shooting, dengan TikTok dan macam-macam lagi,” ujarnya.
Berubat Secara Kampung
Sementara itu, Radin memberitahu dia akan membawa pasangannya itu sekali lagi berubat secara kampung di Pahang.
“Nak cakap tahun ini pun, saya tak boleh nak cakap sebab masih dalam keadaan nak kena berubat. Kami ada pergi berubat di Pahang, Alhamdulillah keadaan dia beransur pulih.
“Tapi sekarang ini, sakit itu datang lagi sikit demi sikit. Insya-Allah dalam minggu depan, saya akan bawa dia pergi berubat secara kampung lagi di Pahang,” katanya lagi.