Laman Utama
Rani Mukherjee Keguguran Anak Kedua!
Bintang popular Bollywood, Rani Mukherjee mendedahkan dirinya mengalami keguguran ketika sedang hamil lima bulan sekitar tahun 2020.
Bercakap ketika Indian Film Festival di Melbourne pada Jumaat, Rani terpaksa menyimpan berita duka itu ketika filem Mrs Chatterjee vs Norway dalam rangka promosi bagi mengelakkan disalah erti sebagai salah satu taktik promosi.
Rani, 45, memberitahu, dia disahkan hamil anak kedua ketika tempoh lockdown Covid-19 sebelum keguguran lima bulan berikutnya.
"Mungkin ini kali pertama saya membuat pendedahan (mengenai keguguran) kerana dalam dunia sekarang setiap apa yang berlaku dalam hidup kita akan diperdebatkan secara publik.
"Adakalanya ia menjadi agenda untuk orang bercakap lebih banyak tentang filem itu.
"Sudah terang lagi bersuluh, saya tidak pernah membuka mulut mengenai perkara ini ketika mempromosikan filem terbabit kerana bimbang ia akan disalah ertikan.
"Tahun 2020, saya hamil anak kedua dan pada akhir tahun sama saya hilang bayi yang saya kandungkan ketika usianya sudah lima bulan," katanya.
10 hari selepas berita duka itu, Rani mendapat panggilan telefon dari Nikkhil Advani (produser Mrs Chatterjee vs Norway) menawarkan peranan untuk filem tersebut.
Namun, Rani masih merahsiakan kegugurannya daripada pengetahuan Nikkhil dan pengarah, Ashima Chibber sepanjang penggambaran.
Tambah Rani, filem terbabit sangat rapat dengan dirinya memandangkan dia sendiri kehilangan cahaya mata.
Mrs Chatterjee vs Norway mengisahkan cerita sebenar pasangan India di Norway, Anurup dan Sagarika Bhattacharya yang anak-anak mereka 'dirampas' oleh badan kebajikan negara terbabit untuk dibesarkan.
Rani mendirikan rumah tangga bersama Aditya Chopra dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Adira yang kini berusia lapan tahun.