Hiburan
Riena Diana Kagum Keith Foo Berusaha Dalami Agama Islam - “Kakak Dan Abang Dia Juga Mualaf”
Pelakon Riena Diana memaklumkan teman lelakinya yang juga pelakon, Keith Foo terbuka untuk mendalami tentang agama Islam.
Berusaha Dalami Ilmu Agama Islam
Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 28, berkata, Keith banyak didedahkan dengan ajaran Islam sejak kecil lagi. Malah, beberapa ahli keluarganya juga sudah memeluk Islam.
“Kami jarang bercakap tentang hal ini. Namun, kami berdua sedar tentang hubungan yang berbeza agama. Sebelum hubungan menjadi lebih serius, itu yang kami pernah bincangkan dahulu.
“Sepanjang tempoh perkenalan, saya melihat Keith sudah biasa berkawan dengan orang Melayu. Jadi, setakat perkara-perkara asas, dia memang sudah tahu dan tiada masalah sangat.
“Dia mempunyai keinginan untuk belajar sendiri dan sebab itu saya tidak terlalu mendesak. Kakak dan abangnya juga adalah mualaf. Jadi, bukan sesuatu yang asing pun," katanya ketika ditemui Gempak.
Riena Enggan Desak
Tambah Riena, dia juga enggan mendesak Keith sebaliknya mendoakan yang terbaik.
“Perkara seperti ini tidak boleh dibuat-buat, sebab akan datang sendiri.
"Hidayah itu datang daripada Allah. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Keith,” katanya.
Kagum Usaha Keith Foo
Biarpun mereka tidak membincangkan perkara tersebut, Riena berasa kagum dengan usaha Keith untuk mendalami ilmu agama.
“Kadang-kadang dia beritahu ada mendengar khutbah dan akan kongsikan isi ceritanya. Pada mulanya saya pelik, kenapa dengar khutbah hari-hari? Khutbah selalunya pada hari Jumaat.
“Rupa-rupanya, pada dia, setiap ceramah itu adalah khutbah. Saya melihat situasi itu sangat comel. Dia ada inisiatif untuk mendalami agama.
"Baru-baru ini, pada hari Maulidur Rasul, dia bertanya, kebiasaan orang Islam buat apa? Kemudian dia sendiri yang memutuskan untuk bersedekah di masjid,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu pada Jun lalu.
Keith sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun.