Laman Utama

Rumah Dinaiki Air, Yantzen Tidur Atas Bumbung – “Air Naik Terlalu Cepat, Saya Panjat Bumbung Untuk Selamatkan Diri…”

Fiza Kamarudin
20/12/2021
11:36 MYT
Sponsor Banner
Rumah Dinaiki Air, Yantzen Tidur Atas Bumbung – “Air Naik Terlalu Cepat, Saya Panjat Bumbung Untuk Selamatkan Diri…”
Penyanyi rock, Yantzen, berkata dia hanya sempat mencapai satu beg pakaian sebelum memanjat ke bumbung rumah untuk menyelamatkan diri.
Yantzen berkata, air naik terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda.
"Saya hanya sempat mencapai satu beg pakaian. Saya terpaksa panjat bumbung rumah untuk menyelamatkan diri.
"Barang-barang seperti peti sejuk, tilam dan perabot semuanya habis tunggang terbalik. Kereta dengan dua motosikal termasuk milik teman saya tenggelam.
"Saya dan penduduk lain semalaman berlindung atas bumbung dalam hujan dan kesejukan sementara menunggu bantuan sampai keesokannya," katanya yang ketika ini berlindung di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (SKSS), Hulu Langat.
Menurut Yantzen dia tinggal bersendirian di kediamannya di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat.
Bekas bintang Gegar Vaganza 7 itu juga pasrah apabila hampir semua harta benda musnah.
"Jika hendak diikutkan, kerugian yang terpaksa ditanggung memang tinggi. Hampir 90 peratus barang rumah tenggelam. Tetapi saya tidak mahu mengusutkan fikiran.
"Alhamdulillah, ramai rakan ambil berat dan bertanya khabar. Tambah melegakan apabila sejak semalam, tiada hujan,
"Mungkin selepas keadaan semakin baik, saya akan pulang untuk membersihkan apa yang patut di rumah," katanya.
Katanya lagi, dia belum sempat menjenguk keadaan rumah dan tidak pasti sama ada air sudah surut.
"Buat masa ini, saya tinggal di PPS terlebih dahulu. Saya masih buntu apa yang perlu dilakukan kerana belum sempat meninjau keadaan terkini kediaman saya.
Yantzen berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa terkandas dengan menggunakan bot besar.
Selain itu, bekas vokalis kumpulan May itu turut merakamkan penghargaan kepada petugas PPS kerana melaksanakan tanggungjawab dan melayan mangsa banjir dengan baik.
"Saya amat berbesar hati dengan pasukan tentera yang menghantar kami ke PPS. Begitu juga petugas PPS yang melayan kami dengan baik. Alhamdulillah, makan minum kami cukup.
"Semua urusan sangat lancar dan teratur. Kami tidak perlu bersesak beramai-ramai di PPS. Sebaliknya, setiap bilik darjah hanya menempatkan enam mangsa.
"Setiap seorang diberi tilam... Setakat ini, tiada apa yang hendak dirungut," katanya.
Sumber: BH Online
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar