Laman Utama
Rupanya Janna Nick Dapatkan Khidmat Jurusolek Dari Thailand Ini Sempena Majlis Kahwin, Individu Sama Yang Pernah Solekkan…
Majlis perkahwinan pasangan pelakon Janna Nick dan Dini Schatzmann berlangsung dengan meriahnya pada Sabtu lalu.
Diadakan di Pulau Langkawi, Janna kelihatan begitu cantik dan jelita. Solekan yang dioleskan pada wajahnya juga tampak ‘jernih’ dan segar, sesuai dengan raut wajah Janna yang berbentuk bulat.
Namun, tahukah anda, siapakah yang bertanggungjawab di sebalik kemulusan solekan Janna pada majlisnya itu? Barbara Beer, jurusolek popular dari Thailand.
Dikenali dengan kepakaran mencantikkan wajah pelanggan menggunakan solekan jenis efek kulit kaca (glass skin effect), Janna menerusi perkongsian Barbara menyatakan rasa gembira kerana ditata rias oleh jurusolek itu.
“Terima kasih dengan sentuhan kamu Barbara. Sangat menakjubkan. Saya sangat gembira mendapat sentuhan kamu pada hari bahagia saya. Till next time,” tulis Janna.
Menerusi hantaran berbeza, pelakon Elfira Loy turut meninggalkan komen.
“Patutlah solekan dia nampak sangat bagus! Dia nampak macam anak patung hari ini,” tulis Elfira.
Meninjau laman Instagram Barbara, jurusolek itu juga pernah menata rias wajah Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Janna selamat bergelar isteri kepada aktor Dini Schatzmann dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Langkawi.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.