Hollywood
Sambut Ulang Tahun Ke-70, Jackie Chan Ulas Penampilan Berambut Putih & Tua
Pesohor Jackie Chan baru menyambut ulang tahun ke-70nya pada 7 April 2024.
Mengaku sempat tidak percaya kerana mencecah usia 70 tahun terutama mengenangkan dirinya sebagai seorang pelakon aksi dan lagak ngeri, bintang popular itu menyifatkan pertambahan usianya sebagai satu pencapaian terbesar dalam hidup.
Jackie Chan yang cukup terkenal dengan filem aksi seperti The Karate Kid, Rush Hour dan Police Story menuliskan kesyukurannya mencapai usia 70 tahun di platform media sosial.
“Sebelum masuk usia ini, ramai rakan mengingatkan saya tentang umur 70 tahun. ‘Jackie anda akan menyambut ulang tahun ke-70.
“Setiap kali mendengar angka ini, jantung saya berhenti sebentar dan bertanya kepada diri sendiri ‘saya sudah masuk 70 tahun?’
“Dan pada waktu itu juga saya akan teringat tentang perbualan bersama Sammo Hung.
“Dia pernah berkata kepada saya bahawa masih mampu menikmati setahun lagi usia dan menjadi tua adalah satu nikmat terutama buat individu seperti kami yang terlibat dalam banyak aksi lasak.
“Kami bertuah kerana masih hidup dan merasa usia tua,” tulis Chan panjang lebar di akaun Instagramnya.
Pada kesempatan sama, Chan turut mengulas tentang foto terkininya dengan penampilan tua dan berambut putih yang menjadi tular serta perbincangan peminat.
“Saya juga mahu mengambil kesempatan dengan memberitahu jangan risau tentang kesihatan atau penampilan saya.
“Itu (rambut putih) hanya karakter untuk filem terbaharu saya. Karakter tersebut memerlukan saya berambut dan berjanggut putih malah kelihatan tua.
“Saya melakukannya kerana menikmati setiap masa dan bertuah kerana masih boleh berlakon sehingga kini,” katanya lagi.