Hiburan
Sandera Raih Maklum Balas Positif, Mila Jirin Janji Untuk Kembali Aktif Dalam Bidang Nyanyian
Agak lama tidak muncul dengan buah tangan baharu, penyanyi Mila Jirin tampil dengan single terkini berjudul Sandera.
Diciptakan oleh Amylea Azizan, lagu nyanyian juara Akademi Fantasia musim kelima ini bukan hanya menerima maklum balas positif, malah ada dalam kalangan peminat mengharapkan lagu tersebut dipertandingkan menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL).
Namun, Mila menyifatkan ia adalah pujian yang sangat besar buat beliau yang baru saja menapak kembali dalam industri seni muzik.
Maklum balas positif
"Siapa yang tak mahu berada di pentas gah AJL? Ia adalah impian bagi kebanyakan penyanyi sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sebuah lagu itu.
"Saya yakin susunan muzik Amylea memberi magis buat sesiapa sahaja yang mendengar. Apa yang penting, saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu," katanya.
Tambah Mila, kali ini dia yakin bahawa dia tidak akan menghentikan kerjaya nyanyiannya kerana tempoh 10 tahun berehat bagi membina empayar perniagaan, iaitu Bizzmilla sebelum ini sudah dianggap cukup.
Malah Mila mahu mengembangkan bakat bukan hanya sekadar menyanyi tetapi juga mengintai potensi dalam perniagaan bidang seni pula.
“Sekitar setahun, dua lalu, saya ada berkongsi video nyanyian di media sosial dan ramai yang tanya kenapa sia-siakan bakat.
“Seperti semua tahu, saya cuba pujuk suami. Walaupun pada mulanya suami agak berat nak membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan, tetapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi. Alhamdulillah dia izinkan.
“Kerana itu saya gunakan peluang yang ada. Saya nak, hadirnya saya kembali dalam industri dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya sambil berharap mempunyai sebanyak lagu yang boleh supaya dapat menunaikan impian menganjurkan showcase A Night With Mila Jirin di Bizmilla Banquete Hall.
Sandera
Melanjutkan bicara mengenai Sandera yang turut dijadikan runut untuk drama Khunsa, Mila berkata, perkataan itu sendiri bermaksud tentang seseorang yang terperangkap dan menjadi tebusan kepada sesuatu.
“Kalau dikaji semua lirik ini, ia adalah satu perasaan yang terperangkap disebabkan perlu memenuhi kehendak orang yang dia sangat cintai. Terkejut juga baca lirik-lirik ini. Amylea pandai menggunakan bahasa yang indah dalam lagu-lagunya.
“Terasa seperti lagu ini begitu sesuai dengan saya yang semakin matang daripada segi pembawakan dan penjiwaan nyanyian.
“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman dahulu juga, proses rakaman hanya diambil selama 5 jam saja,” kongsinya.
Dalam pada itu, ditanya pula mengenai pemilihan Nonny sebagai pelakon muzik video Sandera, Mila mahu memberi ruang kepada teman baiknya itu kembali bergiat aktif dalam industri lakonan.
“Alhamdulillah, berdasarkan komen-komen yang saya baca, ramai yang menyokong Nonny untuk kembali bergiat aktif dalam lakonan.
“Apa yang saya fikir, ini peluang untuk dia. Mana tahu selepas ini penerbit drama semua cari dia kan,” ujar Mila.
Meraih lebih 40,000 tontonan, Sandera sudah pun dilancarkan di semua platform digital sejak Mac lalu.