“Saya Belum Layak Diberikan Gelaran Biduanita Negara” - Ziana Zain
Penyanyi terkenal, Ziana Zain, merasakan dirinya masih belum layak untuk mendapat gelaran sebagai Biduanita Negara.
Menurut Ziana, 56, anugerah itu mempunyai makna sangat besar dan wajar diberikan kepada artis senior serba boleh yang lebih layak daripadanya baik dari bidang nyanyian, lakonan atau pengacaraan.
“Saya baru 30 tahun dalam industri, belum layak jika diberikan gelaran Biduanita Negara. Perjuangan saya dalam industri ini pun belum sampai setengah abad.
“Banyak lagi senior saya yang lebih sesuai kerana mereka sudah lakukan pelbagai perkara dan bekerja keras pada zamannya.
“Cuma pada masa kini mereka tidak ke depan, jadi orang tidak tahu. Saya takut ada perasaan tidak adil kepada senior kita. Mereka adalah inspirasi untuk kami jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui Gempak
Ziana berkata demikian bagi mengulas mengenai namanya disebut sebagai antara anak seni yang layak menyandang gelaran Biduanita Negara.
Biar panel juri tentukan
Tambah Ziana lagi, urusan pemilihan Biduanita Negara biarlah ditentukan oleh kearifan panel juri.
“Datuk Sharifah Aini memang layak bergelar Biduanita Negara kerana bakat dan penglibatannya dalam bidang suara, pengacaraan dan lakonan. Itupun mengambil masa bertahun-tahun sebelum diiktiraf.
“Biarlah gelaran itu diberikan oleh orang yang arif dalam penilaian kepada artis yang benar-benar layak.
“Kita tak boleh calonkan diri sendiri. Peminat memang mahukan yang terbaik buat artis kesayangan mereka, namun mereka mungkin ada yang tidak faham maksud sebenar gelaran tersebut.
“Saya belum boleh terima gelaran itu, ia terlalu besar,” tambahnya.
BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Tidak Kejar Gelaran Biduanita, Hanya Berkarya Demi Peminat - "Saya Tak Terlalu Fikirkan Tentang Ganjaran"
Terdahulu, perbincangan mengenai gelaran Biduanita Negara menjadi hangat apabila peminat mencadangkan agar gelaran tersebut diberikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi respons baik dan berkata pihaknya akan membuat penilaian penganugerahan itu.
BERITA TRENDING: Peminat Usul Gelaran Biduanita Negara Untuk Siti Nurhaliza, Ini Reaksi Fahmi Fadzil
Untuk rekod, gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sehingga kini, penyanyi legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013).