BERITA
“Saya Berdebar Menunggu Isteri Sebab Pukul 7 Malam Kelibatnya Belum Kelihatan…”- Fazley Yaakob Kongsi Detik Cemas Ketika Turun Dari Gunung Kinabalu
Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob melalui detik cemas bersama isterinya, Datin Azrene Ahmad ketika perjalanan turun dari Gunung Kinabalu semalam.
Menurut Fazley, dia berdebar menanti isterinya yang mengambil masa yang agak lama untuk turun dari gunung tersebut selepas mereka terpisah ketika hujan lebat.
Fazley berkata, dek kerana bimbang dengan keselamatan isterinya, renjer hutan telah mengarahkan seorang malim gunung untuk masuk semula mencari Azrene.
Bagaimanapun, Azrene tiba tidak lama selepas itu dan Fazley memberitahu dia pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Semalam sewaktu turun dari #GunungKinabalu bersama @azrene_ahmad , kami berpisah kerana hujan terlalu lebat dan saya terlalu gayat bila jalan perlahan.
“Jadi, Azrene turun bersama malim kami Alex dan saya diminta untuk terus turun dahulu memandangkan saya agak pantas mendaki dan turun gunung.
“Namun, saya sampai pukul 5 petang selepas mendaki turun di mulakan pada jam 12. Namun saya berdebar menunggu Azrene sebab dah pukul 7 malam kelibat Azrene dan malimnya belum kelihatan.
“Sampai renjer hutan mengarahkan seorang malim gunung masuk semula di dalam hutan yang gelap gelita untuk memastikan mereka okay.
“Tak lama lepas tu, Azrene akhirnya sampai. Sebak kami berdua. Tentunya pengalaman hari ulang tahun Azrene ke-40 yang terindah. Terima kasih semua yang menyokong dan memberi semangat!" tulisnya.
Pemilik SukaSucre Bistro itu berkongsi pengalaman tersebut di akaun Instagram miliknya.
Terdahulu, Fazley menyatakan hasratnya mendaki Gunung Kinabalu bersama isterinya sempena hari jadi yang ke-40 Azrene.
Menerusi perkongsian tersebut, Fazley turut memuat naik video ketika menunggu Azrene tiba di garisan penamat dan kelihatan isterinya sebak dan mengalirkan air mata saat berjumpa dengannya.
Rata-rata pengikutnya akui terharu melihat kisah pendakian mereka dan akui ia memberi inspirasi buat mereka.
Penyanyi, pengacara, pakar motivasi dan cef selebriti ini berkahwin dengan Azrene pada tahun 2006 dan pasangan ini dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.
View this post on InstagramA post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on
Must-Watch Video