Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Saya Dah Buat Biopsi 4 Kali Di Leher Sejak 2016" - Eina Azman Muncul Semula Selepas Seminggu Menyepi

Amri Hassan 17/08/2021 | 23:43 MYT

Seminggu sunyi dari media sosial, pelakon Datin Paduka Eina Azman muncul semula dan memaklumkan dirinya baru sahaja selesai menjalani prosedur biopsi pada bahagian leher di sebuah pusat perubatan ibu kota baru-baru ini.

Bagaimanapun, Eina enggan mendedahkan lebih terperinci mengenai masalah kesihatan yang dihidapinya.
"Alhamdullilah selepas enam jam saya dah bangun. Ramai yang WhatsApp dan DM tanya kenapa saya tak ada update apa-apa di Instagram dan masih terlalu ramai yang nak tahu saya sakit apa.
"Sejak akhir-akhir ini saya kurang sihat. Saya dah pernah buat biopsi sebanyak empat kali di leher sejak tahun 2016 sehingga hari ini. Dan sakit saya masih tak hilang," katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri The Maid ini berharap pembedahan kali ini merupakan yang terakhir dan penyakitnya akan sembuh sepenuhnya.
"Hari ini saya berjaya buat pembedahan selepas dua tahun sebab biopsi yang saya buat beberapa kali sebelum ini masih bengkak dan sakit.
"Harap selepas pembedahan ini, sakit saya akan hilang selamanya... doakan saya," ujarnya.
Biopsi dalah ujian perubatan yang biasanya dilakukan oleh pakar bedah, ahli radiologi intervensi, atau ahli kardiologi intervensi melibatkan pengambilan sampel sel atau tisu badan.
Ia bertujuan untuk menentukan kehadiran atau tahap penyakit daripada sebarang keganjilan yang terhasil mahupun faktor-faktor lain.
Sebelum ini, nama Eina dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmit Abdullah pernah menjadi bualan netizen apabila didakwa memotong giliran ketika pemberian vaksin di Hospital Raja Permairusi Bainun Ipoh, Perak.
Namun pengarah hospital itu tampil menafikan dakwaan pasangan terbabit memotong giliran sebaliknya pemberian vaksin kepada mereka berdasarkan rujukan doktor pakar.
Eina dan suaminya menerima vaksin pada 25 Mei di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak berdasarkan masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka.

#pelakon #Eina Azman #hospital #The Maid #Biopsi #Leher
;