Berita

"Saya Ditahan Dalam Keadaan B*gel, Bergari, Kaki Dirantai Ke Lantai Berbulan-Bulan" - Tahanan Malaysia Cerita Detik Terseksa Di Teluk Guantanamo Bay

Gempak
27/12/2024
21:22 MYT
Sponsor Banner
"Saya Ditahan Dalam Keadaan B*gel, Bergari, Kaki Dirantai Ke Lantai Berbulan-Bulan" - Tahanan Malaysia Cerita Detik Terseksa Di Teluk Guantanamo Bay
Seorang daripada dua tahanan Malaysia yang baru-baru ini dihantar pulang dari pusat tahanan Teluk Guantanamo Bay dikendalikan Amerika Syarikat (AS) di Cuba memperincikan penyeksaan dialaminya sewaktu sesi soal siasat kejam oleh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Mohammed Farik Amin melalui satu pendedahan menggambarkan melalui beberapa lakaran bagaimana penderaan dialaminya sepanjang lima tahun terakhir tempoh penahanannya di sana.
Lakaran-lakaran terbabit dibentangkan di mahkamah tentera AS sewaktu perbicaraan kesnya bersama rakan senegara, Mohammed Nazir Lep pada Januari lalu atas nasihat peguam Christine Funk.
Dokumen setebal 96 halaman yang didedahkan kepada umum itu dikemukakan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada rayuan untuk meringankan hukumannya.
Mengikut peraturan mahkamah tentera, juri boleh mengambil kira 'sifat dan tempoh penahanan sebelum perbicaraan' bagi memutuskan hukuman yang sesuai atau mencadangkan pengampunan.
Antara lakaran ditunjukkan termasuk yang menggambarkan bagaimana tangannya digari di belakang badan sambil mencangkung dengan sebatang penyapu diletakkan di belakang lututnya.
Lakaran lain menunjukkan dia melindungi alat sulitnya menggunakan tangan, manakala yang lain menggambarkan dirinya digari dengan tangan diangkat ke atas kepala sambil dibiarkan tidak tidur.
Farik turut melukis dirinya dalam keadaan bogel, dicukur dari kepala ke kaki dan terpaksa bertukar mengimbangi berat badan daripada satu kaki ke kaki lain bagi mengurangkan kesakitan.
Satu lakaran pula menunjukkan empat pengawal dengan sebahagian memakai penutup muka, memegang anggota badannya ke lantai, manakala seorang lagi ejen CIA duduk di atas badannya dan menuangkan air ke muka serta tubuhnya.
Pada Januari, Farik, 49, dan Nazir, 48, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 23 tahun atas pembabitannya dalam pengeboman Bali 2002 yang meragut 202 nyawa.
Mereka mengaku bersalah di bawah perjanjian pra-perbicaraan dengan pendakwa yang membenar mereka dihantar ke negara ketiga dan dibebaskan selepas lima tahun.
Dua sahabat itu mengaku bersekongkol dengan Encep Nurjaman dari Indonesia atau Hambali, selaku dalang di sebalik pengeboman itu.
Mereka juga akan memberikan keterangan yang akan digunakan dalam perbicaraan Hambali, yang dijadualkan bermula Mac tahun depan.
Menurut dokumen itu lagi, kedua-dua tahanan terbabit memberitahu mahkamah mengenai kaedah tidak berperikemanusiaan dan kejam yang digunakan oleh ejen CIA semasa mereka ditahan secara bersendirian di sebuah penjara rahsia di Afghanistan selama tiga setengah tahun selepas ditangkap di Thailand pada 2003.

BERITA TRENDING: Olimpik Paris 2024: Pembawa Bendera Israel Rupanya Bom Penduduk Gaza

Tidak dibenarkan mandi, gosok gigi berbulan-bulan

Farik berkata, dia tidak dibenarkan mandi atau menggosok gigi selama beberapa bulan.
"Saya ditahan dalam keadaan bogel dan bergari, kaki dirantai ke lantai berbulan-bulan.
"Saya tidak dapat bergerak dalam sel. Saya terpaksa membuang air di tempat saya ditahan.
"Satu-satunya bunyi yang saya dengar ialah bunyi bising (penyeksaan) yang berterusan 24 jam seminggu.
"Saya turut sering mengalami mimpi buruk kesan daripada apa yang dilalui," menurut kenyataannya dalam dokumen itu.

Dipukul, dimalukan

Farik berkata, dia dipukul dan mengalami kesakitan teruk serta dimalukan sepanjang tempoh itu.
Dia juga berkata, seorang ejen akan menepis tangannya setiap kali dia cuba menutup alat sulitnya.
Pakar psikiatri, Hawthorne E Smith, melalui laporan berkaitan Farik menyatakan, pandangan lelaki itu sudah berubah selepas menyedari dia tidak mampu untuk mengubah dunia.
Smith berkata, Farik, yang pada awalnya seorang pemuda idealis dari keluarga yang agak miskin, bersedia untuk berkorban demi mempertahankan kepercayaannya, yang dianggap menjadi ancaman pada masa itu.

Mengaku bersalah

Kata Smith lagi, Farik berkomunikasi dengannya melalui surat dalam bahasa Inggeris selama kira-kira sembilan bulan sebelum memutuskan untuk mengaku bersalah.
Farik memaklumkan, dia pernah berhasrat untuk melakukan sesuatu yang bermakna untuk agamanya dan keluarganya semasa zaman mudanya.
"Amin (Farik) menunjukkan sikap yang baik, tenang dan patuh sepanjang tempoh penahanannya.
"Walaupun semasa berdepan tekanan atau ketegangan, dia tidak menjadi agresif atau menunjukkan konfrontasi.
"Pada masa itu, dia tertanya-tanya sama ada ini (perbuatannya) telah merugikan dirinya kerana dia merasakan dia tidak didengari kerana dia 'jarang bertindak'.
"Evolusinya dalam memikirkan jihad kurang sebagai peristiwa luaran, dan lebih sebagai perjuangan dalaman untuk menyucikan hati dan melakukan kerja-kerja baik, menunjukkan kebarangkalian rendah bahawa dia akan diradikalkan semula," kata Smith.

BERITA TRENDING: Zizi Kirana Kongsi Detik Cemas Berdepan Letupan Bom Di Syria - “Pesan Pada Suami, Sekiranya Saya Syahid Ampunkan Salah Silap…”

Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024