Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Saya Kenal Suami Saya Luar Dalam" - Lisdawati

Amri Hassan 31/05/2022 | 09:25 MYT

Pelakon Lisdawati Nazaruddin enggan terlalu terbuka memberikan komen atau kenyataan mengenai kontroversi atau fitnah berkaitan suaminya, aktor, Fauzi Nawawi.

Kata Lisdawati, 44, dia lebih selesa untuk mengunci mulut kerana menganggap hanya dia yang lebih mengenali perangai suaminya sendiri.
"Baik kontroversi, fitnah atau aib suami, saya akan zip mulut. Sebab, saya lebih kenal suami saya luar dan dalam. Insya-Allah, kalau Allah SWT izinkan, biarlah hubungan kami kekal sampai tutup mata.
"Isu apa sekali pun, kalau ada yang komen, saya doakan mereka kembali ke pangkal jalan dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Bagi saya, Allah lebih tahu dan kita sebagai manusia,jangan buat kerja Dia," katanya.
Lisdawati berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran Lana’s Bakery Land milik pelakon, Lana Nordin di Kota Damansara, pada Ahad.
Fauzi terdahulu pernah terpalit dengan beberapa kontroversi yang mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
Justeru, Lisdawati menafikan dakwaan bahawa suaminya telah diboikot oleh produser dan rakan selebriti berhubung kontroversi yang tercetus.
Tegasnya, Fauzi masih tidak putus-putus menerima pelbagai tawaran berlakon hingga tidak menang tangan.
"Alhamdullah sangat. Dia sampai tak menang tanganlah. Setiap hari pergi penggambaran.Sampai ada yang dia terpaksa tolak dengan baik. Saya percaya, ramai penerbit dan pengarah masih mempercayai bakat yang ada padanya.
"Tentang perselisihan faham dengan pihak-pihak sebelum ini pun sudah selesai dengan baik. Malah, pihak berkenaan ada tawarkan dia berlakon lagi. Alhamdulillah.
"Saya pernah cakap dengan dia, apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Kalau orang tanya, dan kita jawab dengan tenang,Insya-Allah, semua perkara akan dipermudahkan," katanya.

#pelakon #Viral #Fauzi Nawawi #Kontroversi #Lisdawati
;