Hiburan
"Saya Nak Kahwin, Cuma Seru Belum Sampai" - Naim Daniel
Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel berkata, dia tidak menolak jika bertemu jodoh dengan seseorang dalam waktu terdekat setelah ikatan percintaan hampir lima tahun yang dibina kini putus.
BERITA BERKAITAN: Naim Daniel Mengaku Tinggalkan Kekasih, Kini Dalam Fasa 'Healing' - "Ya Betul, Saya Sendiri Ambil Keputusan Untuk Berpisah..."
BERITA BERKAITAN: Bekas Hero Remaja 2021 Aryan Naim Tamatkan Zaman Bujang, Pasang Niat Mahu Empat Cahaya Mata
Namun, buat ketika ini jelas Naim dia mahu memberi sepenuh perhatian pada kerjayanya terlebih dahulu.
"Kadang-kadang kita pun tak tahu bila jodoh tu sampai. Mungkin sebelum ni saya tak rasa nak kahwin dan sekarang perasaan tu baru datang.
"Jujur saya cakap sesuatu yang sebelum ini tidak pernah muncul, tidak pernah saya rasa kini saya dapat rasakan dan saya hanya berkongsi rasa itu.
"Saya memang nak berkahwin sebenarnya. Cuma seru belum sampai. Setakat ini saya single dan hati saya belum diisi mana-mana wanita.
"Saya tak menolak andai Tuhan takdirkan saya bertemu untuk mengenali seseorang, saya okay je," katanya kepada Gempak pada majlis House Party XO House di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, sebelum ini mengakui dia pernah menjalinkan cinta bersama seorang rakan artis bagaimanapun cinta yang disemai putus di tengah jalan.
Dia juga mengakui mengambil keputusan untuk berpisah.
Keputusan itu diambil adalah untuk memberi ruang kepada diri sediri selain menganggap tiada jodoh.
Dalam perkongsian lain, menurut Naim dia bakal muncul dengan album terbaharunya berjudul Lelaki Gila yang akan dipasarkan tidak lama lagi.
Ujarnya, album yang terkandung lima buah lagu itu dikatakan sangat peribadi dan terdapat karya ditujukan kepada bekas kekasihnya.