Hiburan
"Saya Penat Travel" - Sasqia Dahuri Kongsi Pengalaman Lepas Kahwin
Pelakon Sasqia Dahuri berkongsi pengalaman menempuh kehidupan baru sebagai seorang isteri.
Bernikah dengan usahawan dari Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan pada 15 Disember tahun lalu, Sasqia sering berulang alik ke negara seberang tambak untuk bertemu suaminya.
"Alhamdulillah, kehidupan sebagai seorang isteri baik-baik sahaja. Buat masa ini, kami tidak tinggal sekali.
"Suami di Singapura, saya pula di Malaysia. Saya berulang alik ke sana. Kalau saya sibuk, suami akan turun ke Kuala Lumpur. Saya penat 'travel' sahaja, tetapi syukur semuanya dipermudahkan," katanya.
Tambah Sasqia, dia bersyukur kerana mempunyai suami yang sentiasa menyokong kerjayanya sebagai seorang pelakon.
"Buat masa ini, perancangan Allah sangat cantik. Kami baru sahaja dua bulan berkahwin dan kini, saya sibuk dengan promosi filem Misteri Dilaila. Suami pula sibuk dengan kerjaya.
"Masing-masing sibuk dan kami mahu memberikan fokus terhadap kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Saya juga gembira apabila suami sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya saya," katanya ketika ditemui di malam gala filem Misteri Dilaila di e@Curve, Damansara baru-baru ini.
Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) yang bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.
Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh yang menakutkan. Keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya sudah hilang.
Imam Aziz (Namron) pula muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat.
Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya (Sasqia Dahuri). Wanita itu mengakui dirinya adalah Dilaila.
Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya?
Jangan lupa saksikan filem hebat ini yang mendapat sentuhan sutradara terkenal, Syafiq Yusof di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019!
Foto: FMS / 712 Studios / IG Sasqia