"Saya Pendam Perasaan Demi Keluarga” – Tracie Sinidol Kongsi Cabaran Hidup Jauh Menjadi Anak Perantauan
Pelakon Tracie Sinidol mengakui cabaran hidup sebagai anak perantau bukanlah sesuatu yang mudah, terutama sekali apabila berjauhan dengan keluarga tersayang.
Kongsi, Tracie, 24, menyatakan antara momen paling sedih yang pernah dialaminya ialah ketika neneknya meninggal dunia sewaktu dia sedang menjalani penggambaran sebuah drama.
“Menjadi anak seni yang bukan berasal dari Semenanjung memang sangat mencabar, terutama apabila berjauhan dengan keluarga. Banyak dugaan yang tidak diduga.
“Saya juga terlepas banyak momen berharga bersama keluarga, termasuk melihat adik-beradik saya membesar di depan mata.
“Momen paling sedih ialah apabila saya menerima berita nenek saya telah meninggal dunia. Ketika itu, saya berada dalam hutan untuk menjalani penggambaran,” katanya kepada Gempak.
Tracie berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana episod pertama Viu Originals: Gadis Masa yang berlangsung di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Selasa lalu.
Tambahnya lagi, dia sudah berusaha mencari tiket penerbangan ke Sabah untuk melihat neneknya buat kali terakhir, tetapi tiada tiket penerbangan yang tersedia ketika itu.
“Apabila saya mendapat berita itu, hati saya sangat sakit. Saya betul-betul nak balik ke Sabah, tapi masa itu, tiada satu pun tiket penerbangan yang kosong.
“Saya masih ingat bagaimana perasaan saya ketika itu. Rasanya sangat menyakitkan. Bagi saya, itulah cabaran paling berat yang pernah saya hadapi,” luahnya.
Walaupun melalui pelbagai cabaran hidup sebagai anak perantau, juara Dewi Remaja itu tetap berusaha untuk kuat demi mencari rezeki di Semenanjung Malaysia.
Hal ini kerana dia cuba memastikan keluarganya di kampung tidak risau tentang dirinya yang sedang bersusah payah di Semenanjung Malaysia..
“Saya hanya mahu lakukan yang terbaik.
“Saya cuba kelihatan kuat di hadapan orang lain dan memendam perasaan saya supaya keluarga saya tidak bimbang,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Tracie turut membintangi drama bersiri Gadis Masa terbitan Viu Originals yang akan ditayangkan bermula 23 Januari ini.
Selain Tracie, drama tersebut turut menampilkan pelakon seperti Syafiq Kyle, Mira Filzah, Bella Dowanna, Fadlan Hazim dan Nadia Aqilah.