Hiburan
“Saya Pernah Kena Campak Skrip” - Siti Khadijah Halim Dedah Dibuli Di Set Penggambaran
Pelakon Siti Khadijah Halim mendedahkan bahawa dia pernah dibuli di set penggambaran oleh krew produksi pada awal kemunculannya sebagai seorang pelakon.
Menurut Siti, 27, antara layanan yang diterima adalah dia pernah dicampak skrip selain dibiarkan tertunggu-tunggu dari pagi sehingga malam di set penggambaran.
"Jika saya ada melihat orang lain dibuli, saya sendiri akan ke hadapan untuk menyelamatkan dia. Janganlah campak skrip ke arah dia sebab saya sendiri pernah kena campak skrip dihadapan saya oleh pihak produksi.
“Saya juga pergi ke set penggambaran kerana dia menelefon saya menyatakan saya mempunyai babak yang perlu dilakukan tetapi saya disimpan di set penggambaran sepanjang hari tanpa ada sebab,” katanya kepada Gempak.
Siti Khadijah Halim berkata demikian ketika menghadiri jemputan ke Majlis Tayangan Perdana 2 Episod Akhir Viu Original- From Saga With Love 2 di Colony Star Boulevard KLCC pada Rabu.
Jelas pelakon utama dalam From Saga With Love 2 itu, perbuatan buli tidak perlu dinormalisasikan dalam apa saja sektor dan lokasi.
“Buli itu biasa kot tapi saya harap perbuatan ini tidak dinormalisasikanlah dan diberhentikan.
“Kalau pernah dimaki itu adalah perkara biasa tapi tidak patut dinormalisasikan.
"Mungkin saya juga pernah melakukan perbuatan buli atau pernah dibuli tanpa sedar. Mungkin kita tidak sedar akan perbuatan tersebut.
“Saya juga tidak mahu cakap banyak tentang ini kerana mungkin saya pernah lakukan kesalahan kepada orang luar tapi saya tidak sedar dan orang luar juga pernah lakukan kesalahan kepada saya serta memaafkan kesalahan dia
“Saya rasa perkara sebegitu berlaku di semua tempat dan saya juga pernah lalui semua tempat itu.
“Saya juga merasakan ia kelakar kerana perbuatan buli itu masih ada dalam tempat kerja kerana saya ingatkan semua orang sudah matang hakikatnya tidak," katanya.
BERITA TRENDING: Berbulan-Bulan Lakukan Solat Sunat Istikharah, Zehra Zambri Tenang Buat Keputusan Sertai GV11 - "Ini Bukan Mudah"