Viral

"Saya Sangka Kes Arwah Anak Yang Terakhir, Ia Masih Berulang" - Bapa Arwah Zulfarhan

Gempak
31/10/2024
20:36 MYT
Sponsor Banner
"Saya Sangka Kes Arwah Anak Yang Terakhir, Ia Masih Berulang" - Bapa Arwah Zulfarhan
"Saya sedih kejadian yang pernah berlaku terhadap anak (Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain) berulang kepada penuntut lain."
Itu luahan bapa kepada arwah Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 60, berhubung dakwaan seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) cedera ditekap seterika, disyaki dibuli senior.
Menurutnya, beliau mengetahui kejadian itu selepas membaca laporan media yang dihantar oleh isterinya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
"Saya terkejut kerana masih ada kes buli berlaku kepada penuntut UPNM. Saya sangka kes arwah anak yang terakhir tapi ia masih berulang.
"Dakwaan mangsa ditekap seterika, tidak kiralah seterika biasa atau seterika wap, ia sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan saja menyakitkan dan menyeksakan tapi ia meninggalkan kesan buat mangsa.
"Seperti berlaku kepada arwah anak yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas, sehingga sekarang saya tak mampu untuk lupakan kesengsaraan dialami arwah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berpandangan laporan siasatan kejadian itu wajar didedahkan kepada pengetahuan umum supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.
Beliau berkata, pihak universiti harus memandang serius kejadian itu yang berlaku kali kedua meskipun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Selain itu, katanya, sudah tiba masanya akta antibuli bagi mendepani peningkatan kes buli membabitkan fizikal, mental dan seksual.
"Sehingga kini tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah dan institut pengajian tinggi. Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda kecemasan yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib," katanya.
Terdahulu, seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera baru-baru ini.
Memetik sumber, mangsa mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas, yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengambil maklum laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden itu yang memperlihat kesan lecur pada badan mangsa.
ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes itu.
Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit jika terbukti bersalah.
Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar