Berita
"Saya Tak Nak Pembantu Rumah" - Cristina Suzanne Mahu Jaga Anak Sendiri
Pelakon Cristina Suzanne memberitahu bahawa dia lebih selesa untuk membesarkan bayi sulungnya, Adrian Noah Faiz yang kini berusia sembilan bulan tanpa khidmat pembantu rumah.
Ini kerana menurut Christina, 34, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pertamanya membesarkan anak sebagai seorang ibu.
"Saya tak mahu pembantu rumah. Biar saya jaga sendiri. Anak pertama biarlah kita yang jaga makan dia semua. Bukan mudah untuk melaksanakan tugas sebagai ibu ni, tapi saya nak rasa.
"Memang dah tak ada masa nak cantik-cantik nak ke salun semua tu, tetapi saya rasa seronok! Saya seronok merasai pengalaman sebagai ibu," kongsinya kepada Gempak.
Menurut aktres filem KIL itu, atas sebab komitmen sebagai seorang ibu itu jugalah dia perlu memikirkan banyak faktor sebelum menerima sebarang tawaran lakonan.
"Keutaman saya ialah anak. Kesian anak kena tinggal kalau kita asyik pergi penggambaran. Lagipun, dia masih sembilan bulan, perlukan lebih kasih sayang.
"Cuma, saya tidaklah tolak terus tawaran yang datang. Saya tak boleh buang (lakonan), rindu. Bukan rindu sebab nak keluar majalah, tetapi rindu persekitaran di set jumpa kawan-kawan," ceritanya yang bakal muncul dalam filem Daulat.
Bercakap mengenai pembabitannya dalam filem arahan Imran Sheikh itu, kata Cristina, dia menerimanya tawaran tersebut memandangkan jadual penggambarannya yang tidak terlalu ketat.
"Jadual penggambaran bukan hari-hari. Jadi, kalau saya ke kerja, saya akan minta bantuan ibu atau ibu mertua untuk jagakan anak saya seketika.
"Belum pernah tinggal lama. Paling lama pun 12 jam. Itu pun dah risau," kongsinya.
Cristina sebelum ini pernah mengejutkan industri apabila mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan M Faiz Zakaria pada Mac 2018 secara senyap dan dilaporkan melahirkan anak sulung sekitar Mac lalu.