Berita

“Saya Tak Sanggup Tengok Video Itu” – Bapa Kepada Pemandu Yang Dipukul Sehingga Hilang Nyawa Harapkan Keadilan Buat Arwah Anak

Gempak
23/02/2024
01:55 MYT
Sponsor Banner
“Saya Tak Sanggup Tengok Video Itu” – Bapa Kepada Pemandu Yang Dipukul Sehingga Hilang Nyawa Harapkan Keadilan Buat Arwah Anak
"Saya tak sanggup nak tengok video itu. Saya harap pelakunya dibawa ke muka pengadilan."
Demikian luah Samad Bakar, 70, bapa kepada Allahyarham Shahril Samad, 41, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul serta diikat sekumpulan lelaki susulan kemalangan berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada jam 9.30 malam Selasa lalu.
Menurutnya, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian sebenar dan hanya mengetahuinya selepas dihubungi anak kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.
"Waktu itu anak ketiga saya hanya beritahu arwah dipukul dan tak cakap pula yang dia sudah meninggal dunia.
"Saya kononnnya nak bersiap ke lokasi, tapi anak cakap tak perlu kerana arwah sudah dibawa ke Hospital Serdang," katanya ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di rumahnya di Taman Ulu Beranang di sini pada Khamis.
Menurutnya, tidak sepatutnya arwah diperlakukan sedemikian.
Tambahnya, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan apabila dimarahi.
"Dia juga masih bujang dan membantu saya serta isteri di kedai makan kami.
"Sebelum kejadian berlaku, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik yang dia akan tinggalkan kami, tapi secara tiba-tiba pulang tidur di rumah sedangkan selama ini dia tidur di kedai," katanya.
Adik Allahyarham, Syazwan Samad, 27, pula berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang setimpal terhadap individu terlibat.
Ujarnya, mereka tidak sepatutnya dilepaskan begitu saja kerana telah menyebabkan kematian.
"Saya ada terima rakaman video keseluruhan kejadian daripada orang awam yang berada di situ dan dia maklumkan bersedia jadi saksi.
"Sememangnya nyawa abang saya tak boleh dikembalikan, tapi kami harap keadilan kepada kematiannya," katanya.
Sementara itu ibu kepada Allahyarham, Khalijah Ahmad, 64, pula terpaksa ditenangkan selepas tidak dapat menahan sebak mengenang kejadian menimpa anaknya.
Dalam pada itu, Mohd Asna turut meluahkan rasa terkilan atas kejadian menimpa Allahyarham dan berharap tindakan sepatutnya dapat diambil terhadap pelaku.
Katanya, sekali pun marah atas insiden berlaku, tidak sepatutnya mangsa 'dihukum' sebegitu sehingga menyebabkan kematiannya.
"Kejadian berlaku menyebabkan kemarahan orang ramai. Ramai terperanjat seolah-olah tiada perikemanusian.
"Nak marah, marahlah. Nak minta ganti rugi, mintalah. Ni sampai pukul, ikat, tendang sampai menyebabkan kematian," katanya.
Tambahnya, orang ramai tidak sewajarnya mengambil tugas polis menghukum Allahyarham dan beliau akan pastikan keluarga arwah mendapat pembelaan atas apa yang berlaku.
"Sekarang ini siapa yang susah? Keluarga arwah dah tentu terkesan. Yang lima orang ditahan itu dah tentu juga menyusahkan keluarga.
"Tetapi macam mana pun benda dah berlaku. Saya harap pelaku dapat dihadapkan ke mahkamah di bawah akta sepatutnya," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.
Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki berusia 42 tahun terbabit yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.
Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.
Sumber: Sinar Harian

BERITA TRENDING: Netizen Kritik Insiden Individu Pukul Pemandu Kemalangan Sampai Mati - “Ingat Kat Israel Tadi……

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar