Hiburan
“Saya Tidak Berdiri Untuk Segala Gelaran” - Siti Nurhaliza
Penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, tidak pernah terlintas untuk mendapatkan gelaran Biduanita Negara.
Menurut Siti, walaupun gelaran itu merupakan satu bonus dan penghormatan namun dia lebih memberikan fokus terhadap kerjaya nyanyian.
“Berdirinya saya di sini sebagai seorang anak seni sebenarnya lebih kepada menghiburkan, berjuang untuk minat yang saya ada.
“Saya tidak berdiri untuk segala gelaran, gelaran itu akan datang tepat pada waktunya. Itu sahaja saya nak beritahu.
“Saya tidak menagih ke atau pun apa. Kadang-kadang saya rasa macam alamak… Nak tergelak pun ada, rasa macam kenapa harus diperdebatkan,” katanya.
BERITA TRENDING: “Saya Belum Layak Diberikan Gelaran Biduanita Negara” - Ziana Zain
Lebih ramai yang bagus dan layak
Dalam pada itu, Siti juga berkata sekiranya gelaran itu ditakdirkan menjadi miliknya, dia tidak akan menolak.
Namun ujar Siti, biarlah gelaran Biduanita Negara itu diserahkan kepada yang lebih arif untuk membuat penilaian.
“Betul, saya rasa memang ramai lagi yang lebih bagus, lebih lama. Saya sendiri melihat perkara ini adalah sesuatu yang perlu diperdebatkan.
“Kalau rezeki, sampai masa, kalau betul-betul rezeki saya dapatlah. Kalau tidak (dapat) pun, saya tak ada rasa apa-apa.
“Sebab cinta saya lebih kepada menghiburkan orang yang menonton, melihat persembahan menghargai lagu-lagu saya itu lebih memberi makna.
“Bukan kita tidak menghargai itu (gelaran), tapi perjuangan utama saya adalah kerjaya. Saya tidak perjuang untuk mendapatkan sesuatu gelaran atau apa, kalau Allah nak bagi, rezeki saya,” jelasnya.
BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Tidak Kejar Gelaran Biduanita, Hanya Berkarya Demi Peminat - "Saya Tak Terlalu Fikirkan Tentang Ganjaran"
Terdahulu, perbincangan mengenai gelaran Biduanita Negara menjadi hangat apabila peminat mencadangkan agar gelaran tersebut diberikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi respons baik dan berkata pihaknya akan membuat penilaian penganugerahan itu.
BERITA TRENDING: Peminat Usul Gelaran Biduanita Negara Untuk Siti Nurhaliza, Ini Reaksi Fahmi Fadzil
Untuk rekod, gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sehingga kini, penyanyi legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013).