“Sebagai Lelaki Patut Jaga Pemikiran & Nafsu” - Mek Yun
Pernah berdepan situasi diekori warga asing, pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Mek Yun menegaskan gangguan tersebut berlaku bukan disebabkan penampilan atau pemakaian seseorang wanita.
Mek Yun atau nama sebenar Wee Yun Nee, beranggapan ia berlaku disebabkan terdapat segelintir lelaki yang tidak dapat mengawal pemikiran dan nafsu mereka.
“Bagi saya, bukan salah wanita… ramai yang kata kita ini sepatutnya kena menutup aurat, pakai elok-elok. Tapi sebenarnya ada ramai wanita yang menutup aurat, tapi masih kena gangguan seperti ini.
“Saya rasa, sebagai lelaki patut jaga pemikiran dan nafsu. Bagi saya, bukan salah pemakaian kami tapi salah orang itu, cara pemikiran dia,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai pengalaman diekori warga asing baru-baru ini, Mek Yun mengakui dia sepatutnya membuat laporan polis supaya orang lain tidak menjadi mangsa.
“Memang sebelum ini sudah beberapa kali saya kena. Sudah tentu bila berdepan dengan situasi itu kita akan rasa panik tapi cuba untuk tenangkan diri dulu.
“Sudah tentu saya ada rasa takut… apa yang saya buat, saya cuba cari pengawal keselamatan yang paling dekat atau kedai berdekatan, saya akan masuk dan beritahu orang yang ada situ ada seseorang tengah ‘stalk’ saya.
“Cuma satu kesilapan saya tak buat laporan polis. Sebab sekarang dah ada akta dan sepatutnya kita buat laporan pada polis supaya orang lain tak kena,” ujarnya.
Sekitar Julai lalu, Mek Yun berkongsi detik cemas apabila dia dan ibunya mendakwa diekori seorang lelaki warga asing di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok miliknya, Mek Yun berkata dia mula berasa tidak sedap hati apabila melihat gerak-geri lelaki berkenaan amat mencurigakan.
Takut dengan situasi tersebut, ibu kepada Mek Yun memanggil pengawal keselamata namun, lelaki berkenaan melarikan diri sehingga tidak lagi dapat dikesan sejurus menyedari gelagatnya dirakam.