Laman Utama
Sedar Diri Tak Fit Macam Dulu, Karl Shafek Tolak Offer Hosting Sebab Tak Nak Susahkan Orang - "Rasa Sayang Tapi Tak Ralat Pun"
Pengacara dan usahawan, Karl Shafek tidak ralat apabila terpaksa menolak beberapa tawaran dalam bidang pengacaraan.
Kata Shafek atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim, 41, dia tidak mahu terlalu tamak dan membuat banyak perkara dalam satu masa.
"Saya dah dua tahun senyap dalam bidang pengacaraan. Situasi pandemik membuatkan peluang itu berkurang. Saya juga memberikan fokus terhadap perniagaan fesyen, Neonate Clothing Company.
"Ada tawaran yang datang sekitar Oktober dan November tetapi saya terpaksa tolak kerana Neonate terlibat dalam KL Fashion Week pada awal bulan ini.
"Kini, saya pula baru sahaja membuka cawangan Dulang Cafe di Kelana Jaya dan saya selaku Pengarah Urusan menguruskan banyak perkara.
"Sejujurnya, saya rasa sayang menolak tawaran dalam bidang pengacaraan tapi saya tak ralat. Saya tak mahu susahkan orang lain dan tak boleh memberikan komitmen terhadap pelbagai perkara. Saya juga tak nak buat banyak benda dalam satu masa.
"Saya sendiri ada masalah dengan tahap kesihatan mental dan saya akui saya tak 'fit' seperti dahulu. Sayang menolak tawaran yang datang tetapi saya kena sayangkan diri saya dahulu," katanya.
Shafek ditemui di majlis pembukaan Dulang Cafe di Kompleks Kelana Jaya pada Jumaat.
Merealisasikan impiannya terlibat dalam perniagaan makanan, Shafek dan rakan perniagaannya mensasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan dalam masa terdekat.
"Saya dah lama tanam impian nak buka kafe. Ibu saya dahulu terlibat dalam perniagaan makanan dan pernah juga membuka perniagaan katering secara kecil-kecilan. Alhamdulillah, apa yang saya mimpikan jadi realiti.
"Bercerita mengenai Dulang Kafe pula, ia diasaskan oleh Tunku Kurshiah Aminah Atiah dan mengangkat konsep makan dalam dulang. Kedai pertama kafe ini terletak di Nusa Jaya, Johor. Semenjak ia beroperasi dari 2017, kafe ini mendapat sambutan positif.
"Dulang Kafe Kompleks Kelana Jaya ini merupakan cawangan yang pertama di Lembang Klang. Kami mengkhususkan hidangan Melayu, Jawa dan Singapura dan menu istimewa adalah Nasi Ambeng Singapura dan Sup Tulang Merah.
"Kafe bakal dibuka secara rasmi bermula 29 November, dari jam 11.30 pagi hingga 8.30 malam. Insya-Allah, saya dan rakan perniagaan memang bercadang untuk membesarkan lagi bisnes ini dan kami berharap agar semuanya berjalan lancar," katanya lagi.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!