Berita
"Sewaktu Saya Melalui Hari Yang Penuh Serabut, Saya Gagal Menjadi Ibu Yang Baik" - Diana Danielle
Aktres Datin Diana Danielle mendedahkan bahawa dia melalui hari-hari yang cukup sukar sehingga mengganggu fikirannya baru-baru ini.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 28, berkata, situasi itu secara tidak langsung menyebabkan dia gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dengan baik.
"Saya mengalami beberapa hari yang sukar. Lebih kurang dalam dua ke tiga hari. Saya menyedari bahawa sewaktu saya sedang serabut, saya tidak mampu menjadi seorang ibu yang baik kepada anak-anak saya.
"Bahkan, saya perasan saya jadi mudah meradang terhadap anak-anak. Saya juga tidak mampu nak tunaikan keperluan mereka yang cukup mudah seperti mengambilkan segelas air. Saya tak mendengar mereka memanggil nama saya," katanya.
Diana berkongsi hal tersebut menerusi video yang dimuat naik di Instagram TV (IGTV) miliknya.
Katanya, situasi tersebut menyebabkan dia berasa terkilan kerana tidak
"Gangguan fikiran yang saya alami membuatkan saya kadang-kadang terlupa apa yang sedang bermain dalam kepala ini. Saya perlu menguruskan masalah, dan pada masa sama perlu fokus.
"Ia sesuatu yang cukup menyakitkan apabila saya sendiri tidak mampu ada bersama anak-anak sebagai seorang ibu ketika mereka memerlukan saya," luahnya.
Bagaimanapun, kata Diana bersyukur dikelilingi dengan orang yang banyak membantunya sewaktu menghadapi hari-hari yang sukar itu.
"Saya ada insan yang hebat yang bantu saya. Jika anda semua mempunyai sebarang isu, harapnya anda mampu selesaikan dengan baik," katanya.
Diana mendirikan rumah tangga dengan Datuk Farid Kamil, 38, pada November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata Muhammad, 6, dan Nur Aurora, 4.
Pada minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Farid untuk mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan kepadanya pada Mei.
Ekoran keputusan itu, pelakon J Revolusi terpaksa merengkok di penjara selepas disabitkan dengan kesalahan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) tahun lalu.