Laman Utama
Shooting Filem 14 Hari, Zahiril Adzim Dah Bagi All Out! - "Tempoh Tu Memang Tak Cukup Tapi ..."
Pelakon Zahiril Adzim mengakui tempoh penggambaran filem selama 14 hari antara cabaran utama dalam naskhah Siku 12: Langkah Derhaka.
Ujar Zahiril, sebagai pelakon dia telah berupaya sehabis baik untuk merealisasikan watak A-Wut, jejaka berbangsa Thailand yang menetap di Kedah.
"Tidak saya dinafikan, tempoh persediaan memang tidak cukup kerana pada awalnya, projek ini adalah untuk supertelefilem. Saya tidak tahu ia akhirnya diangkat sebagai filem untuk tayangan di pawagam.
"Saya sudah berikan yang terbaik dalam tempoh singkat itu. Secara peribadi, untuk diri sendiri, masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki.
"Saya sudah bersedia untuk menerima apa sahaja komen penonton nanti. Kalau suka, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, itu hak mereka. Penonton sekarang sudah bijak menilai," katanya kepada Gempak.
Zahiril ditemui pada majlis pratonton filem Siku 12: Langkah Derhaka di Golden Screen Cinemas (GSC) Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Siku 12: Langkah Derhaka arahan Azhari Zain ini mengetengahkan elemen persilatan Melayu permainan 12 yang jarang diketahui umum dan seni mempertahankan diri iaitu Muay Thai.
Selain Zahiril, filem yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 27 Oktober ini turut menampilkan Syafiq Kyle sebagai teraju utama.