Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Siapa Buat Spekulasi?”- Azmin Respon ‘Pintu Depan’ Ismail Sabri

Syafiqah Jalal 03/06/2021 | 23:27 MYT
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta rakyat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung hantaran dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di media sosial.
Portal Sinar Harian melaporkan, Mohamed Azmin menegaskan, sebagai satu pasukan, beliau bersama jemaah menteri lain sentiasa memberi kerjasama dan sokongan dalam memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani bersama.
"Siapa yang buat spekulasi? Jangan buat spekulasi.
"Datuk Seri Ismail Sabri antara ahli jemaah menteri yang telah diberi peranan penting dalam menangani dan menguruskan masalah COVID-19 sejak awal negara kita diserang pandemik ini.
"Kita ada dua jurucakap, pertama Ismail Sabri untuk isu keselamatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah untuk isu kesihatan.
"Ia berjalan dengan baik dan sebagai ahli jemaah menteri, kita memberikan dokongan yang cukup kuat kepada mereka berdua kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar dalam menangani dan memerangi COVID-19," katanya dalam Taklimat Media Mengenai COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran dibuat Ismail yang telah menimbulkan spekulasi dan keresahan rakyat.
Respons itu sekali gus menggambarkan tiada timbul isu berlaku pertelagahan antara dua pemimpin kanan kerajaan itu.
Pada Rabu, Ismail Sabri hanya menulis "saya dah tutup pintu depan tapi...", selain disertakan dengan emoji sedih di akhir catatan berkenaan.
BACA: “Pintu Depan Dah Tutup Tapi...”- Ismail Sabri
Meskipun hantaran tersebut tidak merujuk kepada sesiapa atau menyebut mana-mana keadaan, ia telah mengundang spekulasi kononnya mempunyai kaitan dengan kebenaran operasi diberikan kepada sebahagian besar perkhidmatan perlu dalam sektor perkilangan, meskipun negara kini sedang dalam pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown).
Mengulas lanjut, Azmin menegaskan, sebagai satu pasukan kesemua menteri mengambil keputusan secara kolektif.
"Kami sebagai satu pasukan kita selalu mengambil keputusan secara kolektif... kita juga sentiasa ada dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mesyuarat-mesyuarat lain.
"Ini prinsip yang saya pegang dan saya juga yakin rakan jemaah menteri akan terus berikan dokongan dalam memastikan semua jemaah menteri dapat mainkan peranan secara efektif," katanya.
Sumber: Sinar Harian
#Lockdown #PKP #Ismail Sabri #Miti #Azmin #Pintu Depan
;