Hiburan
Siti Saleha Syukur Kembali Bergelar Isteri, Pilih Joshua Fitton Sebab Banyak Persamaan - “Kami Berdarah Kacukan…”
Pelakon popular, Siti Saleha, 35, sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, 38, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di pusat peranginan Janda Baik, jam 9 pagi, hari ini.
Menurut Siti Saleha, dia bersyukur kerana majlis pernikahannya berjalan lancar dan dipermudahkan segalanya seperti direncanakan.
“Alhamdulillah, saya sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri.
"Saya memilih Joshua sebagai suami kerana kami memiliki banyak persamaan dan sama-sama berdarah kacukan Melayu-Inggeris.
"Saya juga berdoa semoga perkahwinan kali kedua ini diberkati Tuhan dan kekal hingga ke jannah," katanya.
Selepas majlis pernikahan bertemakan rona putih pada sebelah pagi yang dihadiri seramai 40 tetamu yang juga ahli keluarga terdekat dan teman rapat, acara diteruskan dengan majlis resepsi sebelah pihak perempuan pada jam 12 tengah hari.
Manakala majlis resepsi di sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung minggu hadapan secara besar-besaran di negeri kelahiran Joshua iaitu Melaka dengan bertemakan majlis perkahwinan Jawa.
Pada Disember 2022, pemenang Bintang Asia Terbaik-Malaysia di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 menerusi Drama original Tonton berjudul SeOfis itu secara terbuka memperkenalkan Joshua yang juga seorang pereka fesyen kepada umum.
Kemudian, Saleha yang juga pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu berkongsi berita gembira mereka sudah mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu.
Sebelum ini, Saleha pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama empat tahun.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video