Suami Mualaf, Nana Mahazan Tak Pening Fikir Giliran Pulang Beraya
Personaliti TV dan penyanyi, Nana Mahazan mendedahkan bahawa setiap tahun dia tidak perlu pening memikirkan giliran balik ke kampung halaman setiap kali sambutan Hari Raya.
Malah, Nana atau nama lengkapnya Nurul Hana Che Mahazan menganggap satu kelebihan buatnya kerana berkahwin dengan orang bukan Melayu.
Kelebihan kahwin dengan Mualaf
Dalam pada itu, Nana turut mendedahkan dua adik-beradiknya juga berkahwin dengan mualaf.
“Setiap tahun raya memang akan balik kampung saya. Memang satu kelebihan apabila suami tidak sambut raya, kerana dia seorang mualaf.
“Lagi bertambah seronok kerana abang saya kahwin dengan bangsa Cina, saya kahwin dengan kacukan Cina-India dan adik lelaki saya pun kahwin dengan India.
“Hanya tinggal adik perempuan yang bongsu sahaja belum kahwin.
“Bila fikir semula, setiap hari raya memang semua adik beradik akan balik rumah mak. Tak payah pening fikir nak balik kampung suami atau isteri,” kongsinya ketika ditemui Gempak.
Tak pernah rancang
Sementara itu, Nana turut berkongsi bahawa dia dan adik-beradiknya tidak pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan orang bukan Melayu, dan ia hanya sekadar takdir yang sudah ditentukan Tuhan.
“Mungkin sudah jodoh kami adik beradik kahwin dengan orang bukan Malayu. Allah sudah tentukan segalanya.
“Saya sentiasa fikir sesiapa sahaja boleh bawa agama lain masuk ke agama kita (Islam) dan menjadi tanggungjawab saya untuk ajar didikan agama,” ujarnya lagi.
Sambutan Raya Nana
Berkongsi mengenai sambutan raya, Nana berkata mereka sekeluarga akan memasak sendiri semua juadah lebaran.
“Setiap kali raya, saya dan adik-beradik yang akan memasak. Mak hanya kawal dan duduk rehat sahaja. Semua hidangan kami yang sediakan.
“Raya pertama sama seperti orang-orang lain, bermaafan di pagi raya dan makan juadah raya.
Sekadar info, Nana mendirikan rumah tangga dengan lelaki kacukan Cina-India iaitu Mohamed Raqeem Brian yang berasal dari Sarawak pada 6 Jun 2009 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Althea dan Aaqib.