Laman Utama
"Suatu Hari Nanti Anda Akan Tahu Kebenarannya, Hati-Hati Dengan Fitnah" - Miera Leyana
Tidak terus membisu, pelakon Miera Leyana akhirnya tampil bersuara di media sosial.
Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, tulis Miera kebenaran akan terbukti suatu hari nanti.
"Akan ada dua sisi cerita dalam setiap kisah. Jangan nak gila glamor.
"Suatu hari nanti kalian akan tahu kebenarannya. Hati-hati dengan fitnah akhir zaman.
"Sekian dari Miera Leyana, nak masak kejap untuk husband dan anak-anak. Okey bye," tulisnya di Instagram Stories.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan suami Miera Leyana, Rosland Othman dan isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib merujuk Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) bagi menangani krisis rumah tangga mereka.
Rosland hadir ke mahkamah ditemani adiknya, Kamarul Othman serta ibu dan abang kepada Miera Leyana, Aisah Abdullah dan Mohd Fadley Kasmi.
Bagaimanapun, Rosland berlalu pulang, enggan ditemubual selepas prosiding pelantikan JKP.
Sebelum ini, permohonan cerai difailkan Rosland pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Media ada melaporkan, Adibah mahu mempertahankan rumah tangga bersama Rosland biarpun perkahwinan didakwa dilanda badai sejak dua tahun lalu, apabila suaminya berkahwin dengan Miera pada Julai 2020.
Pada 31 Januari lalu, Rosland yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik, gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkan sendiri di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.