Hiburan
Super Mom! Mila Dukung Anak Daki 642 Meter ke Puncak Jabal Nur
Kasih sayang seorang ibu buat anaknya tidak akan pernah pudar dan sanggup melakukan apa sahaja buat anak tercinta.
Itu yang dilakukan penyanyi Mila Jirin apabila dia sanggup mendukung anaknya, Arif Zikri untuk mendaki Jabal Nur ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.
Juara Akademi Fantasia musim kelima itu sanggup mendukung anaknya yang berusia hampir satu tahun itu sehingga menjejakkan kaki ke puncak pada ketinggian 642 meter.
Mila yang berkongsi kisah pengorbanannya itu di platform media sosial Instagram miliknya, menyifatkan perjalanan itu sebagai satu mimpi kerana berjaya membawa anaknya ke puncak walaupun ia adalah perjalanan yang mencabar.
“Tak dinafikan, memang penat. Dengan berat hanya 42 kilogram dan mendukung Arif dengan berat sembilan kilogram memang terasa bergoyang dan bergetar lutut.
“Turun lebih mencabar dari naik. Walaupun ada tangga, tetapi tangganya tidak sekata dan apabila makin ke atas tangganya makin curam. Allahuakbar!
“Memang ada rasa seperti mahu putus asa tetapi disebabkan waktu melawat itu merupakan waktu terakhir untuk pelawat menziarah Jabal Nur seperti yang diarahkan kerajaan Arab Saudi, saya terus positif,” luahnya.
Tambah Mila, sepanjang pendakian itu dia tidak henti berselawat dan mengenangkan kisah Rasulullah SAW dan isteri Baginda, Siti Khadijah di Gua Hira.
Sesudah tiba di puncak, Mila turut berkongsi bahawa dia yang mendukung anaknya tidak berkesempatan untuk melawat Gua Hira.
“Disebabkan kedudukan Gua Hira berada di bawah sedikit di puncak dan laluan untuk turun gua itu lebih mencabar dan bahaya buat saya yang mendukung Arif.
“Walau bagaimanapun, Alhamdulillah. Ibu dan ayah tercinta berkesempatan untuk masuk ke Gua Hira,” ujarnya.
Mila turut memberi pesanan buat Arif, “Moga nanti Arif dah besar, Arif dukung mommy pula, naik Bukit Bendera pun jadilah,” pesannya.
Dalam pada itu, netizen turut memuji keberanian Mila yang sanggup mendukung anaknya sehingga tiba di puncak tinggi itu.
Sumber: Astro Awani
Foto: Instagram Mila
A post shared by MILA JIRIN ? (@mila_jirin) on
Must-Watch Video