Laman Utama
Syatilla Melvin Syukur Rumah Tangga Tak Pernah Diganggu Penyondol - "Kami Boleh Baca Fikiran Masing-Masing"
"Demi Allah buat masa ni tiada (gangguan orang ketiga)," demikian tegas pelakon dan usahawan jelita Syatilla Melvin ketika ditanya tentang isu penyondol yang sedang tular dalam industri hiburan ketika ini.
Tambah Syatilla, dia bersyukur rumah tangga yang dibinanya bersama Shaheizy Sam sejak tujuh tahun lalu masih utuh.
"Saya dan Sam, kami dah tahu perangai masing-masing.
"Kami dah 13 tahun berkawan, dia buka mata je dah tahu saya macam mana, begitu juga sebaliknya. Jadi kalau ada sebarang perkara yang tidak kena, kami boleh baca fikiran masing-masing. Dia takkan boleh tipu.
"Walaupun dia (Sam) pelakon hebat.. tapi dengan isteri, dia tak boleh tipu. Kalau ada benda yang tak kena terjadi, saya akan tahu.
"Setakat ini Alhamdulillah semuanya baik-baik. Setiap hari saya berdoa minta Allah lindungi rumah tangga sebab kami ada anak-anak dan usia pun sudah makin meningkat," ujarnya.
Syatilla ditemui pada majlis pelancaran set produk kosmetik terbaharu Kekasih Lebaran 2023 yang berlangsung Glass House Klang, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Syatilla, dia bertuah kerana memiliki suami yang tahu menjaga batas serta sedar diri sudah memiliki keluarga.
"Saya tak pernah letakkan sebarang syarat ketika di keluar bekerja sebab Sam jenis orang yang sedar diri.
"Kita dah kahwin, macam dia tak suka kalau kita pegang-pegang lelaki lain, macam tu juga saya tak suka kalau dia pegang perempuan lain.
"Jadi, dia tidak buat perkara itu. Sam faham apa yang saya tak selesa dan kami sama-sama cuba kekalkan prinsip itu, Insha-Allah selamat (rumah tangga)," katanya.
Untuk rekod, Syatilla dan Sam mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016.Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 6, Sarima Samheizy, 4, dan Salama Samheizy yang kini berusia 10 bulan.